Dr Akmal cadang DAP Jasin pilih calon faham sejarah, Perlembagaan Malaysia

MELAKA - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mencadangkan DAP Jasin menetapkan syarat tambahan kepada calon yang diketengahkan sekiranya parti itu berhasrat untuk bertanding kerusi dalam Parlimen Jasin.

Beliau berkata, DAP Jasin disarankan menambah syarat iaitu memilih dan menyokong calon yang benar-benar memahami sejarah dan perlembagaan Malaysia.

"Saya sangat setuju!! Malah saya menyarankan kepada DAP Jasin agar buat satu lagi syarat iaitu calon yang betul-betul memahami sejarah dan Perlembagaan Malaysia serta mampu bertutur dalam bahasa Melayu dengan fasih," tulisnya di Facebook pada Isnin.

Beliau yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka berkata, sekiranya DAP Jasin mahu bertanding di kerusi parlimen itu, pihaknya bersedia untuk berlawan habis-habisan.

"Macam cadangan Ketua Pemuda DAP (DASPY) Melaka (Cassel Krishnan ) tu? Silakan kami tunggu, kita lawan habis-habisan nanti ya," tulisnya lagi.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan 15 cawangan DAP Jasin meluluskan usul menyokong calon Kerajaan Perpaduan pada pilihan raya akan datang dengan syarat menolak politik ekstrem pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) di Kemendor, Jasin pada Sabtu lalu.

Setiausaha Publisiti DAP Melaka, Kerk Chee Yee berkata, kesemua mereka menyatakan pendirian tegas itu untuk menolak mana-mana ahli politik atau parti yang mengamalkan politik ekstrem, perkauman dan agama yang boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat.

Menurutnya, usul yang dibuat oleh cawangan terlibat bagi menyatakan sokongan penuh demi memastikan calon-calon dari Kerajaan Perpaduan sama ada untuk kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) memperoleh kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.