KUANTAN - Budaya 'angkat tangan' dalam kalangan anggota parti perlu ditamatkan dan digantikan dengan amalan berhujah serta berdebat secara sihat pada sesi pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025.
Calon Ahli Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Chan Chun Kuang berkata, perbezaan pandangan dalam parti adalah satu perkara biasa dan sihat dalam mana-mana organisasi, apatah lagi dalam parti politik yang demokratik.
Menurutnya, ia mencerminkan kepelbagaian pemikiran dan keupayaan untuk berkembang melalui perbincangan terbuka.
"Namun, apa yang membimbangkan pada pemilihan parti kali ini ialah kecenderungan segelintir dalam parti untuk menyatakan sokongan secara membuta tuli terhadap individu tertentu tanpa mengemukakan hujah atau fakta yang kukuh.
“Budaya ini tidak membantu kematangan politik, malah membunuh semangat intelektual dalam kalangan anggota, khususnya generasi muda,” katanya pada Isnin.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu berkata, inilah medan sebenar untuk membina pemimpin masa depan.
"Mereka yang mampu mempertahankan pendirian dengan fakta, bukan sekadar dengan emosi dan kesetiaan peribadi,” jelasnya.
Chun Kuang menambah, parti ini telah melalui pelbagai fasa perjuangan dan telah membuktikan keberanian untuk menyatakan kebenaran walaupun pahit.
Katanya, itulah antara nilai yang membina parti tersebut hingga ke tahap hari ini.
"Janganlah kerana keghairahan mempertahankan tokoh tertentu, kita lupa bahawa prinsip harus sentiasa mengatasi personaliti.
"Saya menyeru semua anggota PKR, khususnya calon-calon yang bertanding dalam pemilihan kali ini, supaya menyuburkan budaya politik yang lebih matang, kritis dan berpaksikan idealisme," katanya.