KOTA KINABALU - Gerakan Bangkit Sabahan akan menganjurkan satu lagi perhimpunan aman selama dua hari bagi menyatakan solidariti rakyat terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Ketua Penasihat Gerakan Bangkit Sabahan, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, perhimpunan yang dijadualkan berlangsung pada 21 dan 22 Jun depan itu akan diadakan di Kota Kinabalu, dengan tema 'Sabah 4 Sabahan'.
"Bagaimanapun, lokasi sebenar tempat berhimpun akan diberitahu semasa sesi sidang akhbar yang dijadualkan pada awal Jun ini.
"Kita menjangkaan kehadiran seramai 15,000 orang perhimpunan kali ini yang turut menampilkan tokoh politik terkenal Sabah untuk beraksi di pentas utama sebagai pemidato dan cadangan jemputan juga akan dipanjangkan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta beberapa orang aktivis Sarawak untuk berucap dalam perhimpunan kali ini," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya lagi, perhimpunan aman itu amat penting bagi menyatakan solidariti rakyat di negeri ini kepada ketua menteri agar tidak gentar mempertahankan hak dan kedaulatan Sabah menjelang PRN17.
Untuk rekod, pada 31 Disember tahun lalu, Gerakan Bangkit Sabahan menganjurkan Perhimpunan Bangkit Sabahan dengan kehadiran kira-kira 1,500 orang daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diadakan di Anjung Selera, Likas.