IPOH - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa pelantikan vendor yang mengendalikan sistem pemilihan parti itu tidak dibincangkan terlebih dahulu.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, pelantikan tersebut dilakukan secara senyap-senyap pada Disember tahun lalu tanpa dibincangkan dengan Biro Politik parti untuk dibuat pernilaian bersama.
Beliau yang juga Menteri Ekonomi berkata, isu tersebut telah diadukan kepada Setiausaha Agung parti, Dr Fuziah Salleh di mana ketika itu tidak timbul untuk mengadakan pemilihan parti.
“Saya hendak minta maaf kepada kawan-kawan kenapa tidak dibincangkan jadi macam ini (sistem). Kita sudah memberi pandangan yang berbeza pada setiap keputusan. Pemilihan kita kata fikirkan balik.
“Kemudian sistem dan saya tidak pernah sebut sebenarnya, tetapi kawan-kawan yang lain tahu bahawa lantik vendor yang hendak buat sistem itu telah dibuat sebelum dibentangkan kepada Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (HIRUK) Perak yang disiarkan secara langsung di media sosial miliknya pada Ahad.
Jelas Rafizi, sekiranya ada yang meragui dakwaannya beliau mempunyai surat lantikan vendor tersebut.
"Kalau sanggah, saya ada surat lantikan vendor sama ada November atau Disember 2024. Masa itu tidak ada dengar cerita pemilihan lagi, senyap-senyap lantikan berlaku.
“Kemudian saya dengar ada sistem dan saya orang pertama yang tanya macam ada lantikan (vendor) sedangkan belum dibawa ke Biro Politik atau MPP sedangkan untuk menguruskan sesuatu ini perlu diangkat dan dinilai ada beberapa vendor dan bagaimana supaya kita dapat tentukan secara bersama,” katanya.
Bagaimanapun Rafizi berkata, beliau telah mengambil tindakan dengan menghubungi Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa susulan isu sistem ketika pemilihan parti.
"Ini kerana, berlaku aduan dalam kalangan pemimpin yang bertanding apabila berlaku kucar-kacir pada minggu pertama pemilihan di mana berlaku ‘kepala dipotong'.
“Saya telefon Zaliha dan dia pun akui tak faham sangat (pasal sistem) dan kalau dia lupa saya telefon beliau pada waktu petang lepas Maghrib,” dakwanya.
Media sebelum ini melaporkan, lebih 280 aduan yang diterima JPP PKR sepanjang proses pemilihan parti itu yang melibatkan pelbagai peringkat termasuk semasa pencalonan, kempen dan keputusan cabang telah diteliti satu per satu.
Penggunaan teknologi baharu dalam sistem pemilihan PKR kali ini menimbulkan isu kerana berlaku silapan teknikal yang dikesan hingga rasa tidak puas hati di kalangan calon yang bertanding.