IPOH – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli membidas pihak tertentu dalam parti yang disifatkannya sebagai berpura-pura mahu berdamai selepas mencetuskan ketegangan dan menyerangnya secara senyap dari dalam.
Dalam ceramah Jelajah Hiruk Zon Perak yang berlangsung di Dewan Komuniti Taman Cempaka di sini, pada Ahad, Rafizi menyatakan rasa kesalnya terhadap budaya ‘tikam belakang’ yang berlaku menjelang Pemilihan PKR 2025, yang menurutnya merosakkan semangat demokrasi dalam parti.
“Marilah kita berdamai? Damai apa kalau kau yang goncang dulu? Oh, kau tikam aku, lepas itu kau minta damai, ya? Mana boleh macam itu, saudara saudari,” katanya yang disambut sorakan hadirin.
Menurut beliau, budaya pemilihan dalam PKR selama ini sentiasa bersifat demokratik dan terbuka, malah amalan bersaing secara sihat sudah menjadi tradisi sejak 2001.
“Daripada pemilihan pertama di Kemaman, kita dah biasa bersaing. Masa bising tu biasalah, tapi lepas itu balik buat kerja semula,” jelasnya.
Namun katanya, apa yang membimbangkan kini adalah wujud usaha sistematik untuk mencantas pemimpin tertentu dari peringkat cabang dengan senarai ‘hitam dan putih’.
“Kalau adab pemilihan dijaga, orang tak rasa luka dalam. Tapi bila mula ada senarai siapa perlu digugurkan, itu menyalahi semangat parti,” katanya.
Rafizi menegaskan, setiap ahli berhak memilih sesiapa sahaja sebagai pemimpin tanpa tekanan atau campur tangan dari atas.
“Kita parti demokrasi. Nak suka siapa, sukalah. Nak pilih siapa, pilihlah. Tapi jangan pula kalau nak cantas yang di atas, mula dengan cabang,” ujarnya.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa tindakannya bersuara akan memecah-belahkan parti, sebaliknya menegaskan keberanian menyatakan kebenaran adalah sebahagian daripada roh perjuangan PKR.
“Kita diajar untuk berkata benar, untuk berani kerana benar, untuk menyuarakan suara yang lemah jika mereka di pihak yang benar,” katanya.
Menurut Rafizi, perjuangan dalam parti tidak seharusnya tunduk kepada rasa takut atau kepentingan jawatan.
“Kalau takut dengan risiko, jangan bicara soal perjuangan. Kalau dah jadi kerajaan, tiba-tiba semua jadi penakut, itu bukan PKR yang kita kenal,” ujarnya.
Beliau juga menyifatkan tindakannya membangkitkan isu dalaman sebagai satu bentuk keberanian politik yang mungkin tidak disukai tetapi perlu untuk menyelamatkan prinsip parti.
“Ini sebenarnya tindakan berani mati dalam politik. Ada yang tanya saya, ‘kau gila ke?’. Tapi saya jawab, ini soal adab dan maruah parti,” katanya.
Rafizi turut menasihatkan ahli parti untuk kembali kepada nilai asas PKR iaitu memperjuangkan kebenaran, menolak ketakutan dan menghormati perbezaan.
“Parti ini kekal walau ditekan dan dipenjara kerana kita ada roh itu. Roh perjuangan yang tidak goyah,” ujarnya.