BUKIT MERTAJAM - Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar enggan melayan cadangan beberapa pihak yang mahukan agar debat antara beliau dengan penyandang Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli diadakan menjelang pemilihan parti.
Sebaliknya, puteri reformasi itu memilih untuk bertemu dengan akar umbi dan perwakilan dalam tempoh berbaki lima hari lagi berkempen menjelang pemilihan parti pada 23 Jun ini.
Beliau berkata, pertemuan dengan ahli akar umbi itu sebagai usaha memperkukuh solidariti untuk terutamanya dalam berdepan cabaran pilihan raya nanti.
"Pada saya, kita nak santuni perwakilan dan bila berhadapan dengan kawan-kawan, inilah semangat yang kita nak garap.
"Ini semangat yang ingin kita semai...Jadi, biarlah saya fokus kepada mereka. Insya-ALLAH, dalam lima hari lagi, ini yang akan saya lakukan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sesi temu rapat bertemu akar umbi bersama Nurul Izzah zon utara, di sini pada Ahad.
Sebelum ini calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR 2025-2028, Mohd Yahya Sahri berkata, cadangan penganjuran debat antara dua calon Timbalan Presiden PKR itu disifatkan sebagai pendekatan baik untuk membuka ruang pemikiran anggota dan penyokong parti.
Bekas Ketua Koordinasi PKR, Iswardy Morni pula menyarankan debat secara terbuka antara kedua-dua pemimpin itu dianjurkan sebagai tanda kematangan budaya politik dalam negara.
Selain itu, calon Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Prasanth Kumar Brakasam berkata, cadangan debat itu bakal menjadi platform terbaik untuk kedua-dua tokoh menerangkan tawaran, idea serta formula terbaik bagi mengukuhkan Kerajaan Perpaduan, PH dan PKR sendiri.
**media[3130910]**
Mengulas mengenai cabaran pada pemilihan kali ini, Pengerusi Pimpinan Negeri Pulau Pinang itu berkata, setiap pemilihan parti pasti mencabar, namun apa yang penting adalah untuk mendengar dan bertemu terus dengan akar umbi.
"Saya lebih suka mendengar pandangan mereka dan bertemu secara langsung. Inilah peluang yang perlu dimanfaatkan," tambahnya.
Beliau turut menyatakan bahawa lawatan ke Sabah baru-baru ini lebih menjurus kepada persediaan menghadapi pilihan raya negeri yang bakal tiba, dan bukannya berkenaan pemilihan parti.
"Saya bimbang tentang pilihan raya. Jadi, bagi saya, yang lebih penting adalah untuk menyatukan semua pihak ke arah perjuangan yang lebih besar.
"Sejak dahulu lagi fokus utama adalah pilihan raya umum, dan bukannya pemilihan dalaman parti, ini bukan kali pertama saya terlibat dalam pemilihan parti. Kita pernah melalui zaman yang mencabar. Kita mahu membina hubungan, bukan memusnahkannya," katanya.
Nurul Izzah tidak menafikan bahawa pemilihan parti kadangkala boleh mencetuskan perpecahan jika tidak ditangani dengan baik.
Mengulas dakwaan mengenai nepotisme, Nurul Izzah berkata, beliau menyertai parti ini ketika ayahnya masih dalam penjara dan tidak pernah membayangkan beliau akan menjadi Presiden, apatah lagi Perdana Menteri.
Tegasnya, keputusan untuk bertanding dalam pemilihan parti kerana beliau mahu menyumbang khidmat kepada parti.
"Keputusan pemilihan harus diserahkan sepenuhnya kepada perwakilan.
"Jika mereka tidak memilih saya, saya terima dengan hati terbuka. Saya akan terus bekerja kerana bagi saya, yang penting adalah menghubungkan parti dengan aspirasi rakyat,"katanya.