Dakwaan politik wang boleh hakis kepercayaan ahli akar umbi

SHAH ALAM - Dakwaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengamalkan politik wang sepanjang tempoh berkempen pada pemilihan parti mampu mewujudkan politik berpuak sekali gus menghakis kepercayaan penyokong akar umbi terhadap parti itu.

Pensyarah Kanan Sains Politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan berpandangan, pendedahan tersebut menjadikan PKR yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim akan lebih berpecah dan dijauhi sekiranya tindakan tersebut tidak dibendung.

“Saya melihat perkara yang didedahkan itu bakal memberi implikasi besar kepada parti khususnya di peringkat akar umbi dan pengundi kerana apa yang dibangkitkan merupakan isu yang sangat sensitif.

“Ia secara tidak langsung akan menghakis kepercayaan orang ramai dan seterusnya PKR akan mula dijauhi jika dakwaan itu benar-benar berlaku seperti yang didakwa oleh Rafizi (Datuk Seri Rafizi Ramli),” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sebelum ini, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan ketika program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (HIRUK) Kelantan dan Terengganu mengingatkan semua pihak supaya tidak mengamalkan politik wang sepanjang tempoh berkempen untuk pemilihan parti ketika ini.

Menurut Menteri Ekonomi itu, mana-mana parti yang berada dalam kedudukan kerajaan tidak boleh menolak risiko berlakunya penyalahgunaan kuasa.

Dalam pada itu, Ariff Aizuddin berpendapat, pemilihan PKR kali ini disifatkan dalam situasi kritikal susulan pertelagahan beberapa barisan pemimpin yang menyerang sesama sendiri.

Malah menurutnya, pengolahan kuasa turut menjadi punca kepada situasi tersebut dan menyebabkan kebanyakan ahli semakin berpuak.

“Agak sukar untuk menyantuni dan bersikap jiwa besar dalam usaha menghasilkan persekitaran persaingan yang sihat.

“Sekiranya PKR tidak mengambil sebarang inisiatif untuk menoktahkan kemelut ini, maka parti itu tentu lebih sukar meyakinkan orang ramai dalam pilihan raya umum akan datang,” ujarnya.