SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) berharap agar Timbalan Presiden, Rafizi Ramli mempertimbangkan semula keputusan untuk tidak merasmikan Kongres Nasional sayap Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita yang dijadualkan berlangsung pada 22 Mei ini.
Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh berkata, kehadiran Rafizi sebagai perasmi adalah penting bagi mengekalkan tradisi parti yang telah berlangsung sejak sekian lama.
“Saya berharap beliau dapat mengekalkan tradisi parti di mana kongres AMK dan Wanita dirasmikan secara bersekali oleh Timbalan Presiden,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Terdahulu, laporan media mendedahkan Rafizi telah menghantar surat kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyatakan pendirian beliau untuk tidak memenuhi jemputan sebagai perasmi kongres tersebut, walaupun ia telah dipersetujui sebelum ini.
Penyandang Ketua AMK, Adam Adli mengesahkan perkara itu dan telah menerima salinan surat berkenaan daripada Rafizi.
"Buat masa ini saya boleh mengesahkan bahawa kami telah menerima salinan surat beliau kepada presiden yang menyatakan hasrat beliau untuk tidak merasmikan Kongres AMK dan Wanita, walaupun ia telah dipersetujui sejak awal.
"Kami bagaimanapun sedang berusaha untuk mendapatkan persetujuan beliau semula, sesuai dengan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden. Kehadiran beliau sebagai perasmi akan melengkapkan tradisi kongres," katanya.
Sementara itu, calon Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim turut menyuarakan harapan agar Rafizi hadir ke kongres berkenaan.
“Saya juga secara peribadi mengharapkan kehadiran Saudara Rafizi bagi meneruskan tradisi perasmian Kongres AMK dan Wanita,” katanya ringkas.
Difahamkan, keputusan Rafizi itu dikaitkan dengan peningkatan sokongan terhadap pencabarnya, Nurul Izzah Anwar yang juga anak kepada Presiden PKR dan Perdana Menteri, serta Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari yang dijangka kekal mempertahankan jawatan.
Turut dilaporkan, Rafizi tidak dijemput menghadiri majlis pelancaran jentera pilihan raya PKR Sabah di Kota Kinabalu semalam, yang dipercayai menambah ketegangan dalam kempen pemilihan parti.
Malam tadi, Rafizi mendakwa pertandingan merebut jawatan nombor dua parti itu berlangsung di atas 'padang tidak rata', sambil mendakwa jentera parti telah digerakkan bagi menyokong Nurul Izzah.
Sebelum ini, Rafizi turut menyatakan kesediaannya untuk melepaskan jawatan sebagai Menteri Ekonomi sekiranya gagal mempertahankan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan minggu depan.