KOTA KINABALU - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa beliau tidak mahu sebarang bentuk perpecahan berlaku dalam parti ketika negeri Sabah sedang bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut menolak sebarang kewujudan kumpulan atau kem tertentu yang cenderung kepada individu tertentu dalam kalangan pimpinan parti di Sabah.
"Yang penting bagi kita adalah keterangkuman di dalam kita menghadapi PRN. Santunilah kawan-kawan kita.
"Tidak ada kumpulan Bung (Datuk Seri Bung Moktar Radin), tidak ada kumpulan Rahman Dahlan (Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan), tidak ada kumpulan Saleh Keruak (Datuk Seri Salleh Said Keruak), tidak juga ada kumpulan Yakub Khan (Datuk Yakub Khan). Kita hanya ada satu kumpulan, kumpulan kepimpinan BN negeri Sabah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Gerak17 UMNO Sabah Parlimen Sepanggar, yang diadakan di Institut Kemahiran Mara (IKM), Sepanggar, di sini, pada Sabtu.
Turut hadir pada majlis tersebut, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Yakub Khan.
Menurut beliau lagi, semua kepimpinan parti perlu mengenepikan perbezaan pendapat yang sebelum ini menjadi punca kekalahan BN pada dua Pilihan Raya Umum (PRU) berturut-turut.
"Biduk lalu kiambang bertaut. Kekalahan kita dan kecundangan kita selama dua kali pada 2018 dan 2022 kerana kita sibuk melayani perbezaan antara sesama kita.
"Masing-masing pemimpin mempunyai keegoan yang luar biasa. Yang sengsara, yang menerima akibat adalah rakyat. Gajah dan gajah bertarung, yang mati kancil," katanya.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid menggesa agar semua pihak dalam UMNO Sabah menutup lembaran lama dan membuka buku baharu demi memastikan kemenangan pada PRN kali ini.
"Tutup kisah itu, buka buku baharu. Tutup buku lama. Kali ini kalau mahu menang, buat kerja cara mahu menang.
"Kita lupakan nostalgia lalu, kita lupakan perbalahan di kalangan kita. Kita lupakan perbezaan pendapat. Jauhkan sengketa di kalangan kita, Insya-Allah, kali ini kita menang atas sokongan rakyat," ujarnya lagi.
Beliau dalam pada itu turut mengingatkan bahawa perbalahan dalaman sebelum ini telah menyebabkan rakyat hilang kepercayaan, sekali gus memberi peluang kepada pihak lawan membentuk kerajaan.
"Kita bersedia bertahun ini bahawa kita sedang diuji. Di satu ketika dahulu, diuji oleh ALLAH Ta'ala dengan menutup minda dan hati rakyat ketika itu akibat perbalahan kita sesama-sama.
"Rakyat tidak salah. Rakyat melihat gelagat dan kelakuan kita. Rakyat mahu kerajaan yang memberikan manfaat pada mereka, rakyat mahu pembangunan, rakyat mahu masalah air diselesaikan, rakyat mahu masalah elektrik diselesaikan, bukan sahaja jalan raya, tapi banyak lagi.
"Jika Sarawak boleh maju, Insya-Allah, Sabah juga boleh maju, itu yang kita mahu. Bila kita berbalah, bukan sahaja di kalangan sesama kita, kita berbalah dengan seteru-seteru seluruh politik kita. Perbalahan yang tidak pernah ada titik noktahnya. Tunggulah kalau mahu berbalah pun, tunggu lima tahun lagi. Berbalahlah," katanya.