MELAKA – Barisan Nasional (BN) Melaka lebih gemar mengambil sikap tidak peduli dan akan membiarkan Perikatan Nasional (PN) dengan cita-cita mereka untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.
Timbalan Pengerusi BN negeri, Datuk Rais Yasin berkata, perkara paling penting ketika ini adalah untuk parti itu, khususnya UMNO, memberi tumpuan kepada rakyat dan bukannya soal berpolitik.
Malah menurutnya, parti itu tidak gentar dengan sebarang cita-cita yang diluahkan pihak lawan kerana mereka sentiasa bersedia dengan pelbagai program yang menyantuni akar umbi rakyat dan tidak pernah terhenti.
“Apa cerita sekalipun, daripada mana-mana parti sama ada Bersatu atau Perikatan Nasional (PN), mereka boleh bercita-cita kerana kita tidak berpolitik 24 jam.
“Kita ada 28 DUN dan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu, kita menang 21 daripada 28. Jadi, PN ataupun Bersatu boleh teruskan dengan cita-cita mereka,” katanya.
**media[3130255]**
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) peringkat DUN Sungai Udang yang disempurnakan oleh Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin di Kampung Paya Rumput Jaya (PARUJAS), di sini, pada Ahad.
Terdahulu, media melaporkan bahawa Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan PN mempunyai potensi besar untuk meraih sokongan majoriti rakyat Melaka dalam PRN yang dijangka berlangsung pada awal tahun 2026.
Menurutnya, ramalan tersebut berdasarkan kepada kegagalan pentadbiran kerajaan negeri Melaka yang diterajui oleh UMNO dan DAP, selain data serta analisis keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menunjukkan PN mampu menawan beberapa kerusi.
Rais, yang juga Penyelaras DUN Sungai Udang, mengakui pihaknya menerima pelbagai serangan dan cacian daripada pihak lawan termasuk di media sosial, namun yakin rakyat dapat menilai sendiri wakil rakyat yang benar-benar berkhidmat.
Ujarnya, masa ini juga bukanlah masa untuk berpolitik secara berlebihan kerana tumpuan sebenar adalah terhadap kerja-kerja yang dilaksanakan untuk rakyat termasuk menerusi jentera kerajaan.
“Bersempena dengan WRUR ini, memang sangat bertepatan untuk menunjukkan bahawa kerajaan negeri di bawah pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, sentiasa komited membela rakyat. Apa juga serangan di media sosial, kita akan jawab dengan gerak kerja DUN masing-masing,” katanya lagi.