JOHOR BAHRU – Rapat Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2025 disifatkan sebagai platform terbaik untuk semua calon menyuarakan pandangan secara sihat dan bertanggungjawab menjelang pemilihan serta Kongres Nasional AMK yang akan berlangsung di sini pada Jumaat depan.
Naib Ketua AMK Johor, Muhammad Faezuddin Puad berkata, pendekatan kempen yang menumpukan kepada pembentangan fakta, idea dan cadangan sangat dialu-alukan dalam memperkukuh parti.
Menurutnya, kempen sebegitu penting bagi memastikan AMK kekal sebagai sayap parti yang progresif dan berprinsip, serta menjadi contoh kepada anak muda dalam dan luar Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Kami di Johor sentiasa bersedia menyahut apa jua cadangan program yang boleh memperkukuh demokrasi dan memperkasa suara anak muda,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Faezuddin yang juga Ketua Cabang Pulai yakin corak kepimpinan Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim mampu membawa anak muda ke arah yang lebih bersatu dan progresif dalam mendepani cabaran politik masa depan.
Katanya, langkah Muhammad Kamil menganjurkan rapat itu wajar dipuji kerana mencerminkan semangat perpaduan dalam parti.
“Muhammad Kamil mengambil pendekatan inklusif dengan menghimpunkan calon daripada pelbagai latar belakang dan ideologi untuk bersama-sama meraikan perbezaan secara matang dan demokratik,” katanya.
Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 bagi peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan AMK (MPAMK) dan Majlis Pimpinan Wanita Keadilan (MPWK) dijadual berlangsung di Berjaya Waterfront Hotel, Johor Bahru pada 23 Mei ini.
Kongres Nasional AMK dan Wanita Keadilan juga akan diadakan pada hari sama, masing-masing di Berjaya Waterfront Hotel dan Danga Bay Convention Centre, di sini.