PAPAR - Pengumuman kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak sewajarnya menggunakan kepala surat Sekretariat Kerajaan Perpaduan kerana ia hanya melibatkan persefahaman antara dua gabungan parti.
Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tindakan Ketua Sekretariat, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang juga Setiausaha Agung UMNO, dan Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, telah menimbulkan polemik politik yang tidak membina di Sabah, hingga mendapat respons daripada Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.
"Keadaan terbabit menyebabkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa menjelaskan pengumuman berkenaan apabila ditanya dalam sidang media ketika lawatannya ke Tawau.
"Isu tersebut telah menjadi perhatian media dan rakyat di Sabah," katanya ketika berucap pada Malam Citra Tradisi #KPDNKITA di Kinarut, pada Jumaat.
Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, kedua-dua pemimpin itu sepatutnya lebih teliti dalam tindakan mereka.
"Mereka bebas mengeluarkan kenyataan rasmi mewakili gabungan parti masing-masing, namun kepala surat rasmi Sekretariat Kerajaan Perpaduan hanya boleh diguna pakai sekiranya pendirian tersebut mewakili konsensus semua gabungan parti," katanya.
Pada 9 Mei lalu, Saifuddin dan Asyraf mengumumkan kerjasama BN dan PH untuk PRN Sabah dengan menggunakan kepala surat Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang turut memaparkan logo parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Armizan turut mempersoalkan sama ada sekretariat terbabit boleh mengeluarkan kenyataan media rasmi tanpa merujuk kepada Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan.
"Adakah Sekretariat Kerajaan Perpaduan juga akan mengeluarkan kenyataan seumpama itu berkaitan pilihan raya Sarawak kelak?
"Diharapkan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fadillah Yusof dapat melihat perkara ini supaya perkara serupa tidak berulang pada masa depan," katanya.
Ahli Parlimen Papar itu berkata, keputusan membentuk kerjasama politik adalah hak setiap parti, namun ia tidak wajar diumumkan menggunakan platform Kerajaan Perpaduan bagi kerjasama yang hanya melibatkan dua pihak.
"Kita juga perlu terima keunikan landskap politik di negeri-negeri seperti Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor yang akan berdepan PRN.
"Kalau kestabilan adalah matlamat, kita menghormati sesama kita.
"Kapal GRS mungkin dilihat kecil oleh orang tertentu. Namun dengan izin Tuhan, kapal kecil ini punyai muatan yang mencukupi untuk sampai ke destinasi," katanya.