SHAH ALAM – Calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim memulakan kempen pemilihannya dengan melancarkan jelajah Rapat Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2025.
Menurutnya, jelajah itu bukan sahaja menjadi platform untuk menyatakan visi dan misi calon-calon yang bertanding, malah dilihat sebagai usaha memperkukuh budaya demokrasi sihat dalam kalangan anak muda parti.
“Pentas Rapat AMK ini akan memberi ruang dan peluang kepada setiap calon yang telah memasuki gelanggang pemilihan untuk menyatakan hasrat mereka bagi jawatan Timbalan, Naib dan Majlis Pimpinan AMK Pusat.
“Ia juga bertujuan meraikan budaya politik matang serta membina sebuah pasukan AMK yang padu,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Muhammad Kamil yang juga penyandang jawatan Timbalan Ketua AMK turut menyatakan penghargaan terhadap kelancaran proses pemilihan setakat ini, yang berlangsung dalam suasana harmoni tanpa sebarang tohmahan atau kempen tidak sihat.
Beliau turut memuji semangat keterbukaan dan perpaduan yang ditunjukkan anggota AMK dalam proses pemilihan kali ini.
“Saya yakin budaya politik yang bersih dan matang ini perlu diteruskan dalam setiap kempen, agar kita benar-benar dapat mengangkat suara anak muda sebagai wadah perjuangan utama,” katanya.
Tambahnya, butiran lanjut mengenai penganjuran Rapat AMK 2025 akan diumumkan dalam masa terdekat.