KUANTAN - Pemilihan pimpinan pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukan semata-mata untuk pilihan raya umum (PRU) akan datang, tetapi supaya parti itu mampu terus hidup dan menjadi lebih kukuh.
Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berkata, barisan pimpinan yang dipilih kelak perlu mencari jalan supaya parti itu dapat terus bertahan dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.
Menurutnya, langkah itu penting, lebih-lebih lagi apabila terdapat PKR negeri yang tidak menggunakan kekuatan membina akar umbi yang berimpak.
“PKR perlu menghadapi cabaran dalam mengekalkan momentum kelangsungan parti pada masa hadapan.
“Saya sangat bimbang sekiranya parti kita menerima nasib seperti yang berlaku ke atas Parti Kongres di India, yang menyaksikan kekalahan di negeri pada 2003 dan dalam tempoh 20 tahun kemudiannya, mereka hilang kerajaan pusat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Temu Rapat Akar Umbi: Bersama Membina Parti Kita di sebuah hotel di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Naib Presiden PKR merangkap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Tambah Nurul Izzah, beliau memilih medan itu untuk bertempur dengan lawan sebenar.
“Saya mahu kita bina setiakawan. Cukuplah masa berlawan sesama parti, kelak akan berpecah.
“Sebab itu, jika timbul sebarang isu atau ada yang terbuku, elok berjumpa untuk mendapatkan penjelasan,” katanya.
Beliau berkata, inilah masa untuk parti menunjukkan kepada dunia, khususnya kepada parti komponen, bahawa mereka mampu membantu memperkukuh kerajaan negeri dan pusat serta kesatuan PKR sendiri.
“Setiap yang dilakukan harus mengutamakan misi, perjuangan dan kelangsungan.
“Sekiranya ia tidak diteruskan, kita boleh kehilangan momentum,” ujarnya.
Nurul Izzah, yang akan bertanding menentang Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli untuk jawatan nombor dua parti itu, turut berkata bahawa rombakan dan perbincangan dengan parti komponen lain juga perlu dilakukan sebagai usaha mengukuhkan parti itu.