PH perlu pulih keyakinan pengundi bukan Melayu

SHAH ALAM - Kemerosotan sokongan pengundi bukan Melayu kepada Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Madani bukan lagi rahsia apabila didedahkan sendiri Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Beliau membuat pendedahan itu dalam siri Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa (HIRUK) baru-baru ini, yang menunjukkan sokongan pengundi Cina dan India jatuh daripada sekitar 56 dan 50 peratus pada Ogos 2024 kepada hanya 31 peratus pada April lalu.

Rafizi turut mendedahkan, sokongan Melayu terhadap PH berada pada kadar 27 peratus setakat April tahun ini, meningkat sedikit daripada 20 peratus pada Ogos 2020.

Pendedahan Ahli Parlimen Pandan itu bukan hanya menimbulkan pelbagai spekulasi, malah membuka ruang perdebatan mengenai kenapa pengundi Cina dan India yang dahulu dilihat sebagai penyokong tegar PH kini seolah-olah semakin hilang kepercayaan kepada parti komponen Kerajaan Perpaduan tersebut.

Berikutan itu, tiga penganalisis politik, Profesor Dr Wong Chin Huat dari Universiti Sunway; Pengarah Akademik Huayan, Profesor Madya Dr Chang Yun Fah dan Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM) memberikan panduan kepada PH dan Kerajaan Madani bagi menangani isu tersebut.

Menurut Chin Huat, kemerosotan sokongan pengundi Cina dan India adalah kerana mereka mengalami kelesuan politik serta keengganan keluar mengundi bukannya peralihan undi kepada Perikatan Nasional (PN).

“Pengundi Cina dilihat semakin tidak bersemangat untuk hadir ke pusat mengundi, manakala pengundi India pula rasa seakan terabai oleh kerajaan yang mereka sokong dahulu.

“Mereka kecewa bila parti seperti DAP dan PKR yang dulunya lantang bela kaum minoriti, kini seakan-akan diam setelah menjadi menteri,” kata Chin Huat.

Lebih membimbangkan, Chin Huat berkata, dua perkara utama menjadi punca rasa tidak puas hati iaitu isu kaum dan agama yang dilihat dikendalikan secara tidak adil.

“Punca kedua adalah komitmen Kerajaan Madani diketuai PH dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam melawan rasuah yang makin dipersoalkan.

“Sebagai contoh kes pengeboman di KK Mart dan isu penghinaan agama di mana ada tindakan dilihat berat sebelah,” katanya.

Sementara itu, Yun Fah pula menyatakan sokongan kaum Cina mengalami kemerosotan kepada PH kerana merasakan hak mereka semakin terhakis terutama dari segi pendidikan dan budaya.

Malah katanya, kaum Cina juga melihat tadbir urus Kerajaan Madani semakin merosot terutama dari segi masalah birokrasi dan rasuah serta melihat kegagalan menguruskan ekonomi dengan baik.

“Namun, pengundi Cina tidak akan menolak PH secara drastik selagi mana hak budaya dan pendidikan mereka tidak disentuh.

“Masalah ekonomi memang ada. Cukai baharu, pemotongan subsidi, harga barang naik, tetapi ini berlaku di seluruh dunia. Dalam keadaan tak menentu sekarang, pengundi Cina lebih suka kerajaan yang stabil,” katanya.

Bagaimanapun, Yun Fah yakin pengundi Cina tidak akan menarik balik sokongan mereka kepada PH secara besar-besaran sekiranya pilihan raya umum diadakan sekarang.

Sebaliknya jelas beliau, PH dan Kerajaan Madani masih mempunyai tempoh dua tahun untuk menambahbaik persepsi pengundi Cina.

Sementara itu, Sivamurugan menegaskan pengundi kini menilai kerajaan berdasarkan hasil dasar, bukan sekadar janji.

“Selepas 26 bulan, rakyat nak tengok perubahan bukan sekadar dengar retorik reformasi. Harga barang, peluang kerja, cukai, semua ini beri kesan langsung kepada pengundi,” katanya.

Kata beliau, strategi kerajaan perlu sampai kepada semua lapisan masyarakat termasuk anak muda dan mereka yang di atas pagar.

“Kalau tidak ditangani, golongan 26 peratus atas pagar inilah yang akan menentukan kalah menang PRU nanti,” katanya.

Justeru, sekiranya PH dan Kerajaan Madani gagal mengurus persepsi dan mengotakan janji reformasi, maka kehilangan undi bukan Melayu mungkin akan jadi lebih nyata.