Antara kelayakan dan populariti

ALOR SETAR - Pertembungan dua tokoh utama Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar bagi jawatan Timbalan Presiden parti itu dilihat bukan sahaja persaingan personaliti dan kepimpinan, malah mencerminkan hala tuju masa depan PKR.

Penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, saingan itu bukan sekadar siapa menjadi nombor dua dalam parti, ia juga menentukan hala tuju masa depan politik negara kerana sebagai parti teras dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH), keputusan dalaman PKR turut beri kesan kepada landskap politik nasional.

Menurutnya, kedua-dua calon berkenaan mempunyai kelebihan serta kelemahan tersendiri, sekali gus menyukarkan akar umbi untuk membuat pilihan.

“Rafizi dikenali sebagai strategis politik yang tajam dan lantang. Beliau antara nadi kepada kemenangan besar PH dalam beberapa pilihan raya, termasuk memainkan peranan penting dalam pendedahan skandal 1MDB dan NFC (Pusat Fidlot Nasional).

**media[3125555]**

“Kepakaran beliau dalam analisis ekonomi dan data membawa suara progresif yang diinginkan pengundi muda dan kelas pertengahan.

“Namun, sikap tegas dan pendekatannya yang dianggap kurang diplomatik dikhuatiri menimbulkan rasa kurang selesa dalam parti.

"Hubungan tegang dengan pemimpin lain serta hubungan masa silamnya yang dingin dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dikhuatiri cetuskan retakan dalaman,” katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad Zaharuddin Sani berkata, Nurul Izzah yang digelar ‘Puteri Reformasi’ pula membawa legasi simbolik gerakan reformasi yang menjadi tunjang PKR.

“Beliau tampil dengan personaliti sederhana, bersih dan disenangi ramai sama ada dalam mahupun luar parti, menjadikannya calon popular kalangan akar umbi.

“Nurul Izzah sering dianggap pemimpin generasi muda paling ideal untuk menyatukan semua fraksi dalam parti. Puteri kepada Perdana Menteri itu boleh menjadi kelebihan, namun boleh cetuskan isu nepotisme berkaitan parti keluarga.

“Beliau dilihat terlalu lembut dan kurang keberanian membuat keputusan penting. Penglibatan politiknya juga tidak konsisten selepas ‘berehat’ dari politik selain pengalaman pentadbiran dilihat kurang menonjol berbanding Rafizi,” ujarnya.

Menurutnya, Rafizi dilihat mendominasi arus populariti khususnya pengundi bandar, generasi muda dan kelas pertengahan kerana keberanian dan pendekatannya yang progresif.

“Kejayaannya menerusi kempen AYUH Malaysia dan keberaniannya bersuara isu-isu semasa menjadikan beliau ikon politik disegani.

"Beliau juga aktif di media sosial dan ia membantu meningkatkan profil.

“Namun pengaruhnya kurang menyerlah di kawasan luar bandar dan negeri-negeri utara seperti Kedah dan Kelantan, di mana pengundi masih terikat dengan jalinan politik tradisional,” katanya.

Sementara Nurul Izzah tegasnya, mendapat kelebihan sokongan sentimental kerana beliau merupakan anak Anwar.

“Populasi yang masih setia kepada naratif reformasi lama melihatnya sebagai pewaris legasi politik Anwar.

“Namun popularitinya tidak seimbang, beliau lebih diminati di kawasan tertentu seperti Lembah Klang dan Pulau Pinang.

"Keputusan beliau ‘bersara’ dari politik (2018-2019) mungkin mengurangkan momentum politiknya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zaharuddin Sani menyuarakan kebimbangan terhadap sokongan terbuka oleh kepimpinan negeri kepada calon tertentu.

“Walaupun dilihat normal dalam demokrasi parti, ia boleh cetuskan kewujudan fraksi dan kem dalam PKR.

"Dominasi sokongan negeri tertentu boleh menimbulkan perbalahan dalaman yang akhirnya menggugat kestabilan parti.

“Ia menimbulkan persepsi buruk dan menjadi peluru untuk parti lawan memanfaatkan kecelaruan itu dengan mendakwa PKR sebagai parti yang tidak bersatu,” katanya.

Tambah beliau, kewujudan fraksi mungkin menandakan perbezaan ideologi dan visi hala tuju masing-masing.

“Kem Rafizi mungkin cenderung kepada pembaharuan dan pendekatan politik berasaskan data. Kem Nurul Izzah pula mungkin lebih fokus kepada nilai-nilai reformasi dan idealisme politik.

“Persaingan seperti ini sering dilihat sebagai pedang bermata dua. Ia menunjukkan demokrasi dalaman yang matang, namun kegagalan mengawal naratif atau ketegangan boleh membawa kerugian besar kepada parti,” ujarnya.

Menurutnya lagi, pertandingan ini bukan sekadar merebut jawatan Timbalan Presiden, ia menjadi ujian kematangan politik PKR dalam menguruskan perbezaan dan mengekalkan kesatuan selepas pemilihan.

“Sejarah parti itu membuktikan persaingan dalaman yang tidak diurus dengan baik membawa kepada pengkhianatan dan perpecahan, contohnya selepas pemilihan 2018 apabila Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan kumpulannya meninggalkan PKR dalam Langkah Sheraton,” ujarnya.