IPOH – Calon-calon yang bertanding dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) seharusnya memberi tumpuan kepada pembentangan visi dan hala tuju parti semasa berkempen, bukannya mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian sesama anggota.
Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebagai parti pemerintah yang menerajui Kerajaan Perpaduan, ahli serta pemimpin parti perlu menampilkan kematangan dalam berkempen dengan menekankan perancangan masa depan parti dan negara.
Menurutnya, sebarang tuduhan atau sangkaan yang tidak beradab terhadap pihak lawan juga tidak sepatutnya berlaku.
“Sebagai pemimpin, kita perlu tampil dengan visi, bukan sekadar isu siapa sokong siapa. Rakyat ingin tahu apa bentuk Malaysia yang kita ingin bina.
“Itu jauh lebih positif dan produktif daripada mengeluarkan kata-kata jelik atau menuduh sesama sendiri, lebih-lebih lagi sesama keluarga Keadilan,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas bertemu kepimpinan cabang, Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Perak sempena siri jelajah pemilihan parti di sebuah hotel di sini, pada Isnin.
**media[3122462]**
Menyentuh mengenai perjalanan kempen, Amirudin berkata, proses kempen pemilihan setakat ini berjalan dalam keadaan terkawal dan rasional, dengan lebih 90 peratus calon memberi fokus kepada sesi pertemuan dan pembentangan hala tuju kepada anggota.
Beliau yang bertanding mempertahankan jawatan berkenaan menjelaskan bahawa siri jelajah yang sedang dilaksanakan ke beberapa negeri termasuk Melaka, Selangor dan Perak bertujuan menjelaskan hala tuju parti kepada akar umbi, selain memantapkan persiapan menjelang kemuncak kempen akhir Mei ini.
“Kali ini saya berharap mereka akan dapat bersama-sama untuk terlibat dalam proses demokrasi di dalam parti dan memilih kepimpinan dengan penuh rasional dan juga keterbukaan.
“Ia diharap akan membawa kepada kejayaan serta kekuatan kepada PKR pada hari ini dan juga pada masa depan,” katanya.
Tambahnya, sejarah panjang PKR menyaksikan proses regenerasi kepimpinan sentiasa berlaku secara dinamik, termasuk kehadiran pemimpin dari luar parti yang menyumbang kepada kekuatan semasa.
“Kita pernah menerima pemimpin dari UMNO, MCA, MIC dan Bersatu. Kalau kita dapat kumpulkan kemampuan mereka, parti akan jadi lebih kuat.
“Yang keluar pun ada, yang kembali pun ada. Tetapi parti mesti terus bergerak ke hadapan dengan kekuatan yang ada,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan pentingnya pengukuhan pentadbiran dan pengurusan parti untuk menghadapi cabaran masa depan dengan lebih berkesan.