SEBERANG JAYA – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan bahawa slogan ‘Sabah untuk Orang Sabah’ tidak wajar diketengahkan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Menurut beliau, slogan berkenaan tidak selari dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan yang mengutamakan inklusi dan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
“Perdana Menteri telah menegaskan bahawa keterangkuman semua parti politik amat diperlukan agar setiap negeri dapat berganding bahu dengan kerajaan Pusat dalam merealisasikan agenda pembangunan. Sebab itulah pendekatan kolaboratif ini penting.
“Jika kerjasama yang telah dimeterai ini tidak dihargai, ia akan menyukarkan usaha menyatukan kekuatan antara BN, Pakatan Harapan (PH) dan rakan-rakan lain,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Majlis Pembangunan Industri Halal Pulau Pinang pada Isnin.
Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.
Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa pintu rundingan antara BN, PH dan parti lain masih terbuka, namun perlu dikawal supaya tidak menjejaskan kestabilan kerjasama sedia ada.
“Kita tidak mahu timbul semula sentimen kenegerian seperti slogan ‘Sabah for Sabahan’ kerana Malaysia ialah sebuah negara berbilang negeri yang bersatu. Jangan wujudkan semangat ‘asabiah’,” ujarnya.
Sebelum ini, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, bahawa BN sedang meneliti cadangan untuk membentuk Gabungan Mega bersama PH dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi PRN Sabah.
Mengulas lanjut mengenai pembahagian kerusi, beliau berkata rundingan sedang dijalankan bagi mengelakkan pertindihan antara parti.
“Pada PRN Sabah ke-16, BN memenangi 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala GRS ketika itu mempunyai 11 kerusi. Namun selepas beberapa siri tindakan lompat parti, GRS kini mempunyai 42 ADUN.
“Oleh itu, BN akan menuntut semula kerusi-kerusi yang dimenangi kami sebelum ini tetapi telah dirampas menerusi permainan politik oleh pihak tertentu,” katanya.