SHAH ALAM – Nurul Izzah Anwar layak dinobatkan semula sebagai ‘panglima perang’, sama ada menang atau kalah dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pemilihan PKR sesi 2025–2028.
Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, iaitu Atiqah Syairah Shaharuddin berkata, pencalonan itu bersandarkan kepada rekod prestasi cemerlang Nurul Izzah ketika menjawat jawatan Pengarah Pilihan Raya PKR semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang menyaksikan parti itu memenangi hampir 50 kerusi Parlimen, jumlah tertinggi dalam sejarah PKR.
“Dalam mendepani PRU16, kita memerlukan setiap bakat dalaman untuk menghadapi naratif polarisasi yang semakin mencabar.
“Pengalaman bertanding di kerusi bandar dan luar bandar adalah aset terbaik untuk membantu Keadilan terus memenangi hati rakyat dan berkhidmat dengan lebih cekap,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pemilihan kali ini menyaksikan Nurul Izzah mencabar penyandang jawatan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Menurut Atiqah Syairah, ketika PRU14, walaupun Nurul Izzah perlu mengurus kawasan Parlimen Lembah Pantai serta mengetuai kempen membebaskan bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau tetap mampu menjalankan tanggungjawab sebagai Pengarah Pilihan Raya dengan penuh komitmen.
“Cabaran utama ketika itu ialah menguruskan pakatan yang masih ‘hijau’ seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Amanah Negara (Amanah), yang baru keluar daripada UMNO dan PAS.
“Lebih mencabar apabila Setiausaha Agung PKR meletakkan jawatan pada hujung 2016, sekali gus menyulitkan urusan pentadbiran parti,” katanya.
Beliau berkata, PKR telah melalui pelbagai fasa turun naik sepanjang hampir tiga dekad kewujudannya di Malaysia.
“Walaupun imej parti sering dikaitkan dengan perjuangan jalanan suatu ketika dahulu, itu bukan alasan untuk menolak permintaan lebih 150 ketua cabang yang memenangi pemilihan peringkat akar umbi,” ujarnya.
Tambah beliau, antara inisiatif yang dijalankan adalah penubuhan Akademi Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat (JPRP) serta pembahagian peranan kepada setiap Naib Presiden bagi mengetuai kumpulan operasi dan rundingan di lapangan.
“Saya yakin dan percaya, Che Zam, Setiausaha Politik di Kementerian Ekonomi, boleh mengesahkan bagaimana Nurul Izzah memainkan peranan sebagai ‘panglima perang’ PRU14,” katanya.