KEPALA BATAS – Barisan Nasional (BN) akan memperhalusi cadangan pembentukan gabungan besar atau grand coalition yang melibatkan Pakatan Harapan (PH), BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan tersebut yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diteliti secara mendalam bagi mengatasi perbezaan antara ketiga-tiga gabungan berkenaan.
“Kita akan perhalusi pengumuman itu dan akan santuni jika ada titik perbezaan. Tujuannya ialah untuk memastikan tidak berlaku pertindihan kerusi antara ketiga-tiga gabungan dalam grand coalition ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pemasyhuran Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Abdullah Ahmad Badawi, di sini pada Isnin.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, menegaskan bahawa parti itu akan tetap menuntut semula kerusi-kerusi yang dimenangi oleh UMNO tetapi telah berpindah ke parti lain.
“Satu pegangan UMNO ialah mana-mana kerusi yang telah dimenangi oleh UMNO dan ADUN itu lari ke mana-mana parti, kita wajib untuk menuntut kerusi itu semula.
“Kita juga akan pastikan agar pembahagian kerusi antara parti-parti dalam gabungan ini tidak bertindih,” katanya.
Tambah beliau, terdapat beberapa kerusi yang asalnya diperuntukkan kepada UMNO telah bertukar tangan melalui manipulasi saat akhir, menyebabkan empat kerusi ditandingi oleh bekas pemimpin UMNO.
Sebelum ini, Perdana Menteri mencadangkan kerjasama antara PH, BN dan GRS bagi menghadapi PRN Sabah selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di Tawau.
Pada Sabtu lalu, PH dan BN juga bersetuju untuk bekerjasama dalam PRN Sabah selepas mesyuarat kepimpinan tertinggi yang turut dihadiri oleh Anwar dan Zahid.
Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataan bersama mengesahkan bahawa kerjasama itu juga melibatkan rundingan pembahagian kerusi antara ketiga-tiga gabungan.