UMNO akan wujudkan Institut Tun Abdullah Ahmad Badawi

KEPALA BATAS – UMNO akan menubuhkan sebuah institut penyelidikan dan kepimpinan yang dinamakan sebagai Institut Tun Abdullah Ahmad Badawi, sebagai penghormatan kepada bekas Perdana Menteri itu atas sumbangan besar beliau dalam perjuangan parti dan pembangunan negara.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan penubuhan institut itu akan dibawa ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bulan hadapan untuk diluluskan.

“Saya akan membawa saranan kepada mesyuarat MKT UMNO supaya institut kepimpinan ini diabadikan atas nama Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Ia akan menjadi leadership center di bawah UMNO, bukan hanya berfungsi sebagai pusat latihan tetapi juga sebagai pusat kajian dan penyelidikan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pemasyhuran MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi di sini, pada Isnin.

Hadir sama, anak Allahyarham Tun Abdullah, Tan Sri Kamaluddin Abdullah; Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Seri Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohamad Abdul Hamid; dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, institut tersebut akan menghidupkan semula pusat penyelidikan yang suatu ketika dahulu pernah beroperasi di bawah UMNO.

“Sekarang ini kita ada unit penyelidikan, tetapi kita akan perbesarkan fungsinya supaya ia boleh dijadikan bahan rujukan untuk penyelidik dan pengkaji sejarah.

“Ia juga akan menjadi dokumen penting bagi perjuangan UMNO selama 79 tahun,” jelas beliau.

Ahmad Zahid berkata, institut berkenaan akan dilancarkan secara rasmi sempena sambutan ulang tahun UMNO yang ke-80 tahun hadapan.

Beliau berkata, institut itu dijangka menjadi platform penting dalam memperkukuh dasar perjuangan UMNO serta menyemarakkan semula semangat dan pemikiran kepimpinan berteraskan nilai-nilai yang dibawa oleh Tun Abdullah.