KUNAK – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tiada halangan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17), namun keputusan akhir akan ditentukan oleh Ahli Majlis Tertinggi (AMT) GRS.
Menurut Hajiji, beliau menghormati pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan mereka di Tawau yang menyatakan hasrat untuk melihat kerjasama antara GRS, PH dan BN bagi menjamin kestabilan politik di Sabah.
“Saya berjumpa dengan Perdana Menteri dan kita amat menghormati pandangan serta nasihat beliau. Jika politik Sabah stabil, lebih banyak pembangunan boleh dilaksanakan demi kepentingan rakyat,” katanya.
Tambah beliau, walaupun kerajaan negeri kini diterajui oleh GRS-PH Plus, keputusan untuk kerjasama menghadapi PRN akan diputuskan oleh AMT GRS setelah mengambil kira aspirasi politik tempatan.
“Saya menyatakan kepada Perdana Menteri bahawa kita perlu melihat kehendak rakyat Sabah untuk mewujudkan persefahaman politik. GRS akan terus jadi teraju utama,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Bersama Ketua Menteri: Membina Masa Depan Kunak pada Isnin.
Turut hadir ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan ADUN Kunak, Datuk Norazlinah Arif.
Dalam ucapannya, Hajiji menegaskan pendiriannya bahawa GRS harus kekal sebagai peneraju kerajaan negeri selepas PRN17, memandangkan ia satu-satunya gabungan berasaskan parti tempatan di Sabah.
“Rakyat mahukan kerajaan negeri dipimpin oleh parti tempatan. Pencapaian kita terbukti, terutama dari segi ekonomi dan pembangunan,” katanya.
Antara pencapaian yang dibanggakan ialah termeterainya Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan Petronas, termasuk pegangan 20 peratus Sabah dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Samarang dan projek Sabah Ammonia Urea (Samur) di Sipitang.
“Dulu tiada semua ini. Sekarang kita boleh runding dan majukan industri minyak dan gas Sabah sendiri,” tambah beliau.
Walaupun sering menjadi sasaran serangan peribadi, Hajiji berkata, beliau tetap fokus kepada kepentingan rakyat.
“Walaupun difitnah lemah dan sentimental, saya tidak gentar. Kita tetap lawan kerana rakyat bersama GRS,” katanya.
Pada majlis itu, Hajiji turut mengumumkan penyerahan tanah oleh Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) untuk dijadikan rizab perkampungan bagi Kampung Kunak Jaya, Bagian dan Selamat.
Beliau juga meluluskan RM1.2 juta peruntukan untuk membina jeti di Kampung Pangkalan, seperti yang disuarakan ADUN Kunak, Norazlinah Arif.
Hajiji mengakhiri ucapannya dengan menyeru rakyat Kunak agar terus memberi sokongan kepada Norazlinah dan memastikan kemenangan GRS dalam PRN akan datang bagi menjamin kesinambungan pembangunan.