SHAH ALAM – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Baling menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti kali ini.
Ketua AMK Baling, Mohamad Amirul Asraff Ismail berkata, selepas mengadakan perbincangan dengan kesemua ahli jawatankuasa, pihaknya menaruh kepercayaan tinggi terhadap visi dan kepimpinan reformasi yang dibawa oleh Rafizi.
Menurut beliau, Ahli Parlimen Pandan itu memiliki kepimpinan yang cekap, progresif dan berani memperjuangkan agenda reformasi sejak sekian lama.
“Ketokohan beliau dalam membawa pendekatan berasaskan data dan idea pembaharuan yang segar amat diperlukan untuk memacu PKR ke hadapan, khususnya dalam memastikan parti terus relevan buat generasi muda serta rakyat secara umum.”
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bahawa Menteri Ekonomi itu menjadi individu kedua menghantar borang pencalonan bagi merebut jawatan Timbalan Presiden PKR menjelang pemilihan parti hujung bulan ini.
Namanya muncul bersama anak sulung kepada pengasas dan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, di bawah kategori sama, menjadikan kedudukan 'kerusi panas' itu antara pertandingan berprofil tinggi dalam perebutan saf kepimpinan utama parti yang terkenal dengan slogan ‘Reformasi’.
Sementara itu, Mohamad Amirul Asraff memaklumkan bahawa pihaknya turut menjunjung tinggi peranan dan sumbangan Nurul Izzah yang digelar wanita reformis dalam perjuangan parti.
Beliau berpandangan bahawa keberanian, prinsip dan integriti Puteri Reformasi itu dalam arena politik menjadi inspirasi buat anak muda serta seluruh ahli parti.
“Kami mendoakan agar kedua-dua tokoh ini diberi kekuatan dan kejayaan dalam pemilihan.
“Semoga proses demokrasi dalaman PKR terus berjalan dengan sihat dan menjadi contoh kepada parti politik lain di negara ini,” ujarnya.
Kongres Nasional PKR, termasuk Kongres AMK dan Kongres Wanita, dijadualkan berlangsung dari 22 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru, Johor, manakala 23 Mei ditetapkan sebagai hari pengundian.