PH, UMNO-BN dan GRS bergabung pada PRN Sabah - Anwar

TAWAU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah melibatkan tiga gabungan utama iaitu Pakatan Harapan (PH), UMNO-Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Beliau yang juga Pengerusi PH menjelaskan bahawa perbincangan berhubung kerjasama itu sebelum ini dilakukan di peringkat Persekutuan, namun keputusan pelaksanaannya ditentukan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PH di peringkat negeri Sabah.

“Kita bekerjasama tentunya dengan UMNO-BN dan GRS. Sebab itu saya datang juga dan mengadakan beberapa perbincangan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor supaya kesepakatan ini lebih meluas dan kita ambil sikap yang lebih terbuka.

“Jadi itu saya nak jelaskan. Mengapa hal itu perlu? Kerana bagi kita, keutamaan ialah kestabilan politik nasional dan negeri,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi pertemuan bersama Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah di sini, pada Ahad.

Menurut Anwar, hubungan yang baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan amat penting untuk menjamin kesinambungan pembangunan demi kepentingan rakyat.

“Hubungan di peringkat negeri dan Persekutuan mesti baik. Tapi saya lihat, ada beberapa tokoh politik termasuk yang pegang jawatan besar di Parlimen, kerja mereka hanya menyerang pusat.

“Kalau itu berlaku, ia tidak memberi manfaat kepada rakyat. Rakyat mungkin suka dengar, tetapi dari segi pelaksanaan program pembangunan, hasilnya akan jadi seperti masa mereka ada kuasa tetapi tidak dilakukan untuk kebajikan rakyat. Kita berbeza,” katanya.

Tambah beliau, pendekatan kerajaan pimpinannya adalah untuk mendengar keperluan kerajaan negeri dan membuat penyesuaian sewajarnya.

“Saya datang, umpamanya, untuk bertanya kepada kepimpinan negeri tentang keutamaan mereka dan kemudian kita buat beberapa penyesuaian. Itu prinsip kita, bukan soal kepentingan politik semata-mata, tetapi soal menyantuni keperluan rakyat,” katanya.