'Mana mungkin lalat kalahkan singa'

MELAKA - Pakatan Harapan (PH) sebagai parti kukuh tidak memerlukan UMNO-Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 kerana parti itu sudah kehilangan sokongan akar umbi terutamanya daripada pengundi Melayu.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, sebaliknya UMNO yang terpaksa bergantung sepenuhnya kepada PH serta DAP bagi meneruskan kelangsungan politiknya.

Menurut beliau, walaupun BN menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan berjaya membentuk kerajaan, namun PRU15 menunjukkan parti itu mengalami kekalahan besar yang digambarkan sebagai 'total lost'.

“UMNO sedar mereka bakal kehilangan undi Melayu dan undi pengundi UMNO dalam PRN akan datang (selain) sejumlah pengundi bukan Melayu sudah hilang kepercayaan dengan kerajaan PH-BN Pusat dan pentadbiran Melaka di bawah Ketua Menteri UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

"Kerana terhutang budi dalam kerajaan UMNO terpaksa akur dengan tuntutan yang atas, bergabung dengan DAP-PH membentuk kerajaan PH-BN Melaka, " katanya menerusi satu kenyataan.

Mohd Yadzil mendakwa, situasi sama turut berlaku di Perak dan Pahang dengan menyifatkan Menteri Besar yang dilantik hanya atas ihsan PH-DAP.

Malah katanya, situasi di Parlimen turut sama apabila BN hanya mempunyai 30 kerusi yang jumlahnya jauh ketinggalan berbanding PH.

"Tanpa UMNO, PH tetap kekal sebagai berkuasa dalam kerajaan. PH tak perlu UMNO pun untuk menang di semua kerusi mereka.

"Abang besar adalah DAP. Mana mungkin abang besar tunduk kepada UMNO. Mana mungkin UMNO boleh arahkan DAP," dakwanya.

Tambahnya, UMNO terpaksa mengharap undi pengundi DAP-PH kerana sokongan rakyat terutama Melayu kepada UMNO telah merosot.

"Dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning, biarpun bertanding di kubu kuat UMNO, mereka tetap kehilangan 15.5 peratus sokongan dan hilang sekitar 5,000 undi pengundi Melayu.

"Laungan 'Hidup Melayu', 'Hidup Islam' dan nyanyian lagu Anak Kecil Main Api hanya tinggal sejarah.

"Realitinya UMNO dan Presidennya akan terus kekal di bawah telunjuk (Datuk Seri) Anwar Ibrahim. Mana mungkin lalat kalahkan singa," katanya.