SERDANG – Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) didakwa gagal melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan apabila terdapat individu yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) secara 'Airbnb' hanya untuk tempoh pemilihan dibenarkan mengundi dan bertanding dalam pemilihan cabang baru-baru ini.
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa, JPP juga gagal menyemak status keahlian parti lain, sekali gus menyebabkan individu daripada parti seperti UMNO dan Pejuang terlepas dan berjaya bertanding serta memenangi jawatan di peringkat cabang.
“Saya sudah lama menyuarakan kebimbangan tentang isu ini, lebih-lebih lagi selepas kita menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan. Kita memang perlu buka ruang kepada orang ramai menyertai PKR, tetapi bukan secara ‘Airbnb’, masuk semasa pemilihan dan kemudian lesap.
“Kalau JPP dan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (Pengerusi JPP) nak marah, marahlah. Tetapi itu tanggungjawab mereka untuk mendengar aduan dan bertindak secara bebas,” katanya ketika berucap dalam program Yang Bakar Menteri: Yang Berhenti Menteri di Dewan Serbaguna MBSJ, Sabtu lalu.
Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berkata, JPP perlu lebih teliti dalam menangani bantahan termasuk menyemak kesahihan keahlian calon.
“Bantahan sampai ratusan pun tak dijawab. Bila tanya, JPP buat tak tahu. Pengerusi JPP sepatutnya teliti setiap aduan, panggil pihak terlibat, semak bukti dan tapis sebaik mungkin,” katanya.
Mengulas lanjut, Rafizi memaklumkan bahawa kelemahan itu turut dikaitkan dengan kegagalan Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh dalam memastikan penyaringan keahlian dilakukan dengan berkesan.
“Soal keanggotaan berada di bawah tanggungjawab Setiausaha Agung. Kalau ada ahli parti lain bertanding, itu bidang kuasa beliau. JPP pula perlu bertindak segera apabila menerima aduan,” tegas Ahli Parlimen Pandan itu.
Sebelum ini, Dr Zaliha mengumumkan pemilihan semula perlu diadakan bagi tiga cabang PKR, Selayang, Jempol dan Silam susulan aduan serta bantahan terhadap proses pemilihan.
Rafizi mengingatkan bahawa JPP sebagai barisan hadapan parti dalam proses pemilihan tidak boleh memandang ringan terhadap bantahan daripada akar umbi.
“Saya percaya yang buat bantahan ini ialah mereka yang sayangkan parti. Kalau tak mampu selesai semua, sekurang-kurangnya tapis dengan baik. Kalau tak cukup tenaga kerja dalam JPP, tambahkan.
“Sebab kalau perkara sebegini tidak ditangani segera, nasi akan jadi bubur,” katanya.