JOHOR BAHRU – UMNO Johor menegaskan pendiriannya untuk terus memberi tumpuan kepada usaha membela kebajikan rakyat negeri itu berbanding melayan polemik politik menjelang kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah berkata, keutamaan parti adalah memastikan segala dasar dan tindakan kerajaan negeri memberi impak langsung kepada kesejahteraan Bangsa Johor.
"Bangsa Johor mahukan pemimpin yang mendengar, bekerja dan membawa hasil. Bukan hanya sibuk berpolitik tanpa henti.
"Kami bukan parti musim pilihan raya. Kami parti kerja untuk rakyat, sepanjang masa," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dr Zuhan Zain pada Sabtu menggesa agar Pakatan Harapan (PH) Johor segera membuat ketetapan berhubung kerjasama politik bersama BN menjelang PRN.
Menurut Md Israk, UMNO Johor di bawah pimpinan Menteri Besar yang juga Pengerusi UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi kekal komited dengan agenda Maju Johor tanpa terikut-ikut dengan agenda pembahagian kerusi atau rundingan gabungan politik semata-mata.
"Dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa dan desakan keperluan rakyat yang semakin meningkat, kerajaan negeri menumpukan sepenuhnya kepada dasar dan tindakan yang memberi kesan langsung terhadap kesejahteraan Bangsa Johor.
"Tumpuan utama ialah memperkukuh pembangunan negeri, bukannya sekadar mengatur strategi politik seperti pembentukan gabungan atau pengagihan kerusi," ujarnya.
Tambah beliau, sejarah telah membuktikan UMNO Johor konsisten berkhidmat untuk rakyat sama ada sebagai kerajaan mahupun pembangkang dan kepercayaan rakyat hari ini adalah bukti kepada keikhlasan perjuangan tersebut.
Pada PRN Johor 2022, BN meraih kemenangan selesa apabila berjaya memperoleh kejayaan majoriti dua pertiga.
Ini menerusi kejayaan BN menawan 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
PH pula menang 11 kerusi DUN, diikuti Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masing-masing satu kerusi.