Tidak mustahil BN, Warisan bekerjasama - Penganalisis

SHAH ALAM - Tidak mustahil akan ada kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Warisan memandangkan peluang untuk kedua-dua parti itu berganding bahu sentiasa terbuka, kata penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Romzi Ationg.

Beliau berkata, kemungkinan itu sentiasa wujud sama ada semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) atau ketika pembentukan kerajaan.

“Hal seperti ini adalah perkara biasa dalam politik. Begitu juga perkembangan rundingan politik antara Pakatan Harapan (PH) dan BN pada PRN Sabah nanti.

“Cuma ingin saya katakan jika PH dan BN bertindak mengabaikan kerjasama dengan GRS, ia memberi gambaran GRS perlu bekerja keras untuk kekal sebagai kerajaan di Sabah,” katanya kepada Sinar Ahad.Sebelum ini, BN dan PH mencapai kata sepakat untuk menjalinkan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.

Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu diputuskan dalam satu mesyuarat kepimpinan tertinggi antara Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis.

Menurut Romzi, kerjasama rasmi dimeterai antara PH dan BN boleh dikatakan sebagai isyarat dua koalisi berkenaan akan menentang GRS pada PRN Sabah.“Bagaimanapun, saya yakin ruang perundingan masih terbuka,” ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Politik Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sabah, Profesor Madya Dr Firdaus Suffian berkata, perkembangan ini bukanlah satu isyarat muktamad memandangkan politik Sabah terkenal dengan sifatnya yang unik dan sering berubah.

Menurutnya, ia berbeza dengan tahun sebelum 2018 yang mana BN amat dominan dan mendapat sokongan penuh rakyat Sabah.

“Sekarang corak politik dan struktur di Sabah telah berubah. Kita tidak boleh ramal apa yang akan berlaku, dinamika politik di Sabah sering tidak selari dan sukar dijangka.

“Lagipun buat masa ini dan melihat trend sebelum ini tiada satu parti politik yang mampu membentuk kerajaan secara bersendirian dan memerlukan sokongan pihak lain. Apa pun boleh berlaku.

“Bagaimanapun, perkara paling jelas kini ialah naratif tempatan yang menekankan keutamaan parti-parti lokal di Sabah terus mendapat tempat,” ujar beliau.