'Menang, kalah tetap ada tempat dalam PKR'

PERTANDINGAN merebut jawatan nombor dua dalam hierarki Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Timbalan Presiden bukan zero-sum game kerana calon yang menang atau kalah tetap mempunyai kedudukan masing-masing.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, PKR sudah semestinya tidak mahu kehilangan Puteri Reformasi, Nurul Izzah Anwar mahupun penyandang jawatan Timbalan Presiden iaitu Datuk Seri Rafizi Ramli kerana kedua-dua aset bernilai dalam parti.

Menurut veteran PKR itu, parti tidak menjunjung karier politik peribadi dan keutamaan ketika ini adalah khidmat dalam PKR dan negara sekiranya masih menjadi komponen kerajaan.

“Persaingan Rafizi dan Nurul Izzah seimbang, masing-masing ada peluang. Rafizi mungkin menang dan Nurul Izzah mungkin kalah, begitu juga sebaliknya. Apapun kesudahan Pemilihan PKR 2025 nanti, yang menang ada tempat yang kalah juga ada tempat dalam parti.

“Kalau ditanya tentang Rafizi, Nurul Izzah dan Penasihat Jawatankuasa Pengurusan PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, ketiga-tiga mereka amat berbakat, berpengalaman, mempunyai tahap pendidikan tinggi serta karisma untuk memimpin.

“Mereka disiapkan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti dan layak diangkat menjadi menteri kalau PKR menang,” katanya kepada Sinar Ahad.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan pencalonannya sebagai Presiden PKR dalam pemilihan parti peringkat Pusat sekali gus mempertahankan jawatan berkenaan.

Sementara itu, nama Nurul Izzah dan Rafizi turut terpapar pada sistem pencalonan pemilihan, menjadikan mereka dua individu mencalonkan diri bagi jawatan tersebut.

Ditanya mengenai nasib Saifuddin sama ada kekal dalam Kabinet atau sebaliknya, Hassan berpandangan, Menteri Dalam Negeri itu orang kepercayaan Anwar tidak kira waktu susah mahupun senang, malah PKR tidak akan sesekali melupakan jasa individu yang begitu setia dengan perjuangan parti.

“Saifudin ialah ahli dan pemimpin PKR sejak parti mula ditubuhkan lagi. Beliau juga memikul jawatan Setiausaha Agung PKR begitu lama. Sudah tentu PKR tidak akan bersikap seperti ‘kacang lupakan kulit’ atau ‘buang tongkat setelah menyeberangi sungai’.

“Lihat sahaja ketegasan dan dedikasi beliau sebagai menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sewaktu kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Perdana Menteri ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad serta menteri dalam negeri (KDN) di bawah tampuk Kerajaan Madani.

“Bagi saya, masa depan Saifudin dalam parti dan kerajaan takkan hilang hanya kerana beliau tidak mengambil bahagian dalam pemilihan PKR kali ini,” ujar beliau.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub pula berpandangan, Rafizi memiliki peluang tipis untuk menang dalam pemilihan parti menentang Nurul Izzah meskipun beliau mempunyai kedudukan sebagai menteri dan posisi penyandang.

Penganalisis politik itu menambah, ia kerana gelombang Nurul Izzah lebih kuat membadai, ditambah pula sokongan bertali arus yang diterima daripada pimpinan serta akar umbi.

“Saya menjangkakan Rafizi mengambil langkah regresif seperti meletak jawatan dalam Kabinet atau menolak sebarang lantikan kemudiannya oleh parti. Namun, tidaklah sehingga tahap mengosongkan kerusi Parlimen Pandan dan keluar PKR.

“Apapun sebarang kemungkinan boleh berlaku kerana politik tidak statik, tetapi amat dinamik mengikut kepentingan semasa masing masing.

“Justeru demi mengelakkan berlaku perpecahan dalaman, Rafizi dan Saifuddin perlu dikekalkan dalam kabinet walau apa jua keputusan pemilihan kali ini. Saya fikir mungkin PKR boleh wujudkan jawatan yang setimpal dengan pengalaman mereka misalnya Penasihat Kanan PKR,” ujar Mohammad Tawfik lagi.