SHAH ALAM - Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) perlu memainkan peranan untuk menjawab persepsi yang mengaitkan parti itu mengamalkan nepotisme dan kronisme susulan wujud cadangan supaya Nurul Izzah Anwar bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan kali ini.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik dari Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfiq Yaakub berkata, hal ini perlu dijelaskan selepas senarai calon bertanding bagi merebut jawatan berkenaan diumumkan secara rasmi.
"Bagi saya ahli dan pemimpin PKR tulen tiada masalah tetapi segelintir yang baharu menyertai PKR ini dan orang luar yang kurang faham akan termakan dengan dakyah menghidupkan persepsi ini.
"Saya juga berpandangan, tidak relevan mengaitkan nepotisme dalam hal Nurul Izzah bertanding atau menang jawatan Timbalan Presiden PKR ini nanti kerana maksud nepotisme itu sendiri ialah melebihkan atau mementingkan keluarga.
"Sedangkan jawatan timbalan presiden melibatkan pencalonan dan pertandingan yang akan dipilih oleh ahli parti bukannya Presiden," katanya kepada Sinar Harian.
Pemilihan PKR 2025 terus menjadi tumpuan susulan ada cadangan supaya Nurul Izzah bertanding merebut jawatan nombor dua parti itu.
Cadangan yang dibangkitkan beberapa pemimpin peringkat pusat, negeri dan cabang parti itu mendapat reaksi pelbagai termasuk ada yang membangkitkan isu nepotisme dan kronisme sekiranya bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menang, beliau akan bergandingan dengan bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyandang jawatan Presiden.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian pula berpandangan, tidak wajar mengaitkan pencalonan Nurul Izzah sebagai nepotisme.
Ini kerana katanya, Nurul Izzah bukan orang baharu tetapi pemimpin yang sudah memahami ásam garam' dunia politik kerana telah lama berada dalam parti.
"Dalam konteks Nurul Izzah, saya melihat beliau sudah memahami idealisme dan juga fahaman parti, selain turut mempunyai kewibawaan, kemampuan, prestasi dan kredibiliti untuk mengetuai parti, maka beliau tidak harus dipinggirkan hanya disebabkan ayah beliau Presiden PKR ketika ini.
"PKR juga sebuah parti yang mengamalkan demokrasi, sesiapa sahaja wajar dibenarkan bertanding dan saya percaya Nurul Izzah akan buat keputusan berdasarkan parti dan perjuangan masa depan,"katanya.
Sivamurugan dalam masa sama turut berpandangan, jawatan nombor dua parti dalam pemilihan kali ini juga sangat penting kerana mana-mana pemimpin yang menang akan dianggap sebagai pengganti kepada Anwar memandangkan tempoh matang presiden akan berakhir dalam masa tiga tahun lagi.
"Saya rasa PKR harus melihat ini sebagai amalan yang dibenarkan oleh parti tetapi dalam masa sama perlu bersedia dengan kritikan," katanya.