Pemilihan PKR: Anwar sah pertahan jawatan Presiden

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan pencalonannya sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti peringkat pusat 2025 sekali gus mempertahankan jawatan berkenaan.

Menurut sumber setakat jam 3.30 petang, nama pemimpin utama parti tersebut terpapar pada sistem pencalonan pemilihan, bagaimanapun jawatan nombor dua iaitu Timbalan Presiden masih belum diisi oleh sesiapa.

Anwar ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Iman, Putrajaya berkata, tiada individu yang mencalonkan diri untuk mencabar jawatan digalasnya buat masa sekarang.

“Presiden (PKR) masih kosong, saya belum daftar lagi, saya isi (borang) kemudian,” katanya ringkas pada Jumaat.

Terdahulu, Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) memutuskan untuk menangguhkan proses Pencalonan Pemilihan 2025 peringkat Pusat yang dijadualkan pada 3 dan 4 Mei ini.

Bagaimanapun, tarikh baharu bagi Pencalonan Peringkat Pusat berlangsung pada 8 Mei bermula jam 12 pagi hingga 9 Mei pada jam 11.59 malam.

Ahli parti atau penyandang jawatan boleh menawarkan diri untuk menjadi calon Pemilihan PKR 2025 dengan mengisi dan melengkapkan borang melalui pautan https://pencalonanpusat.keadilanrakyat.org.