237 pencalonan diterima untuk pemilihan PKR Pusat - Dr Zaliha

KUALA LUMPUR – Sebanyak 237 pencalonan telah diterima untuk pertandingan pelbagai jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) setakat tengah hari tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, proses pencalonan bagi pemilihan pucuk kepimpinan parti itu berjalan lancar.

“JPP masih lagi menerima permohonan daripada anggota yang berhasrat untuk bertanding jawatan-jawatan peringkat pusat termasuk Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat dan Wanita Pusat,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Proses pencalonan yang bermula tengah hari semalam akan berakhir pada jam 11.59 malam ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau akan mempertahankan jawatan Presiden dan telah menghantar pencalonannya petang ini.

Namun, tumpuan kini terarah kepada perebutan jawatan Timbalan Presiden apabila Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar dijangka mencabar penyandang, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli bagi posisi nombor dua dalam parti.

Menurut sumber, setakat jam 3.30 petang ini, tiada lagi pencalonan diterima untuk jawatan Timbalan Presiden, manakala 11 pencalonan telah diterima bagi jawatan Naib Presiden.

Setakat ini, Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim merupakan calon tunggal bagi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), manakala Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek juga merupakan calon tunggal untuk mempertahankan jawatannya, kata sumber berkenaan.

Proses bantahan ditetapkan pada 11 dan 12 Mei, diikuti dengan rayuan bantahan pada 13 dan 14 Mei, tarikh akhir penarikan diri pada 14 Mei, senarai muktamad calon pada 15 Mei, tempoh kempen dari 15 hingga 22 Mei, dan hari pengundian pada 23 Mei.

Kongres Nasional PKR termasuk Kongres AMK dan Kongres Wanita dijadualkan berlangsung dari 21 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru. - Bernama