KUALA LUMPUR – Tuduhan nepotisme terhadap Nurul Izzah Anwar adalah tidak berasas dan mencerminkan ketakutan terhadap kebangkitan pemimpin muda yang berwibawa, kata Naib Pengerusi Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sivamalar Genapathy.
Menurutnya, kepimpinan harus dinilai berdasarkan tindakan, keikhlasan dan kemampuan membangkitkan semangat rakyat, bukannya disempitkan atas faktor hubungan kekeluargaan.
“Parti perlu memberi ruang kepada tokoh muda seperti Nurul Izzah yang mempunyai rekod perjuangan konsisten dan kredibiliti tersendiri untuk menerajui kepimpinan utama demi kesinambungan idealisme reformasi yang telah diperjuangkan sejak lebih dua dekad lalu.
“Justeru, adalah tidak wajar untuk menafikan kelayakan Nurul Izzah semata-mata kerana beliau adalah anak kepada Presiden parti,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata Nurul Izzah telah membuktikan kelayakannya sebagai pemimpin menerusi peranan aktif dalam membangkitkan suara rakyat, rekod sebagai ahli Parlimen selama tiga penggal serta komitmen terhadap reformasi dan agenda pemerkasaan wanita.
“Beliau bukan hanya simbol harapan kepada wanita dan anak muda, malah mewakili suara akar umbi dan masa depan politik negara.
"Sudah tiba masanya kita melakar sejarah baharu dalam PKR dengan memberi peluang kepada pemimpin seperti beliau,” katanya.
Pemilihan kepimpinan baharu PKR dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat dengan beberapa jawatan utama bakal menjadi tumpuan termasuk kerusi Timbalan Presiden.
Sejak beberapa hari lalu, beberapa pemimpin PKR secara terbuka menyatakan sokongan mereka terhadap Nurul Izzah untuk mencabar Datuk Seri Rafizi Ramli bagi jawatan Timbalan Presiden parti itu.
Sementara itu pada Rabu, Nurul Izzah berkata beliau akan membuat keputusan berhubung gesaan akar umbi agar beliau bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti bagi penggal 2025–2028.
Secara keseluruhannya, lebih 200 cabang PKR di seluruh negara telah menyatakan sokongan terhadap pencalonan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden parti.
Dianggarkan, lebih 150 daripada 222 cabang PKR menyatakan sokongan terhadap Nurul Izzah Anwar untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden.
Perkara tersebut telah didedahkan oleh Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR, Datuk Seri R Ramanan baru-baru ini.