Enam daripada lapan Ketua Cabang NS sokong Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden

SEREMBAN - Enam daripada lapan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat(PKR) Negeri Sembilan menyatakan sokongan pencalonan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden.

Ia melibatkan Ketua Cabang Rembau, Jufitri Joha; Ketua Cabang Jelebu, Zainal Fikri Abd Kadir; Ketua Cabang Seremban, Noor Iskandar Mohamad Noor; Ketua Cabang Rasah, Ahmad Izzudin Ismail; Ketua Cabang Kuala Pilah, Ismail Muhamad Nor dan Ketua Cabang Tampin, V Raja.

Menerusi kenyataan bersama dikeluarkan, mereka berkata, Nurul Izzah merupakan individu tepat bagi mengisi jawatan Timbalan Presiden, memandangkan beliau merupakan tokoh penggerak reformasi bahkan puteri reformasi yang memahami sejarah panjang dan idealisme perjuangan parti.

"Kelayakan beliau berdasarkan merit dengan kualiti kepimpinan bukan sahaja di pentas nasional bahkan di pentas antarabangsa.

"Parti memerlukan individu yang berpengalaman luas seperti beliau dan juga sudah teruji sekian lama ketika parti berada dalam keadaan susah mahu pun senang,"katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, ia juga merupakan proses transisi kepimpinan yang baik bagi memastikan parti sentiasa mempunyai kepimpinan yang berkualiti dan berkaliber.

Kata mereka lagi, parti memerlukan individu di luar kerajaan khususnya yang tidak memegang sebarang jawatan Menteri.

"Ia bagi memberikan fokus sepenuhnya memimpin dan memperkasakan parti sehingga ke akar umbi.

"Urusan pemerkasaan parti sebelum ini dilihat tidak digerakkan secara serius dan sudah sampai masanya kepimpinan tertinggi memberikan fokus kepada pemerkasaan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

"Ia sekali gus memberikan ruang dan peluang yang seluas-luasnya kepada Perdana Menteri untuk memimpin negara," katanya.

Mereka turut berkata, akan memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada Nurul Izzah sebagai calon Timbalan Presiden PKR bagi sesi 2025-2028.

"Ia mengambil kira perkembangan semasa dan kehangatan pemilihan PKR 2025-2028 bagi memilih kepimpinan terbaik PKR menjelang PRU16 dan terus mempertahankan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk fokus memacu negara ke arah lebih cemerlang," katanya.