Calon Timbalan Presiden didesak segera nyatakan pendirian - PKR Kelantan

TUMPAT - [DIKEMAS KINI] PKR Kelantan mendesak individu yang mahu bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan kali ini segera menyatakan pendirian sama ada mereka mahu berbuat demikian atau sebaliknya.

Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Kelantan, Zamaksari Ibrahim berkata, ia bagi membolehkan perwakilan menyatakan sokongan serta meredakan kegelisahan dalam kalangan ahli di peringkat akar umbi.

"Pada 2 Mei lalui 9 daripada 14 cabang di Kelantan sebulat suara menyatakan pendirian menyokong Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden.

"Cabang tersebut ialah Jeli, Tanah Merah, Pasir Mas, Machang, Tumpat, Kota Bharu,Rantau Panjang, Kubang Kerian dan Kuala Krai. Namun pada Selasa, kami dikhabarkan Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar juga akan menawarkan diri untuk bertanding jawatan tersebut," katanya semasa sidang akhbar di Pejabat PKR Tumpat, di sini pada Rabu.

Menurut beliau, PKR Kelantan menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden dan akan bersama beliau dalam apa juga tindakan serta keputusan dalam memperkasa parti.

Zamaksari yang juga Ketua Cabang Keadilan Tumpat berkata, beliau berharap Timbalan Presiden yang dipilih nanti mampu membantu Presiden dalam memperkasa, mengurus dan memantapkan parti bagi mengharungi Pilihan Raya Umum nanti.

Ujarnya, hal ini kerana Presiden terikat dengan jadual yang padat dan memberikan timbalan yang aktif dalam menggerakkan PKR sehingga ke akar umbi.

"Kami (Cabang Keadilan Tumpat) menjunjung tinggi prinsip demokrasi dan memberi ruang seluas dan sebebasnya kepada mana-mana perwakilan memilih pemimpin tertinggi parti.

"Perwakilan seharusnya merasa bebas untuk memilih mana-mana pemimpin yang diyakini mampu bekerja untuk menjadi pemimpin yang mampu memperkukuh dan memperkasa serta memacu parti sebaiknya," katanya.