‘Saya tidak pernah keliru, faham sejarah penubuhan negara’ - Dr Akmal

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan beliau tidak pernah keliru tentang sejarah penubuhan negara.

Beliau sebaliknya mendakwa terdapat pihak yang mungkin tidak faham atau sengaja memilih untuk tidak memahami hakikat sebenar perkara berkenaan.

Katanya, beliau memahami sejarah penubuhan negara ini dengan jelas dan menggesa agar semua pihak membuka dan mengkaji sejarah dengan lebih mendalam.

“Saya tidak pernah keliru. Tapi saya memahami sejarah penubuhan negara ini.

“Saya takut kamu yang tidak faham sejarah penubuhan negara ini ataupun buat-buat tidak faham. Baca sejarah dan faham,” katanya di Facebook pada Isnin.

Sebelum ini, Setiausaha Publisiti DAP Melaka, Kerk Chee Yee menyifatkan Muhamad Akmal telah keliru apabila menggunakan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai justifikasi bagi menentang naratif bahawa Malaysia dimiliki oleh semua rakyat.

Menurutnya, tiada pihak mempertikaikan Perlembagaan Persekutuan malah ia harus dipertahankan oleh semua rakyat Malaysia atau parti politik.

Katanya lagi, patriotisme yang sebenar terletak pada perpaduan bukan perpecahan.

Pada Ahad, Muhamad Akmal dilaporkan berkata, Malaysia selamanya merupakan Tanah Melayu dan perkara itu tidak akan berubah.

Beliau mengingatkan Timbalan Pengerusi Biro Hubungan Etnik dan Agama MCA, Roger Yapp supaya memahami sejarah dan asas pembentukan negara terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan dan tidak menjadi seperti kaduk naik junjung.