PN perlu berubah, bukan sekadar bertanding – Pemuda Pas

SHAH ALAM – Pentadbiran Perikatan Nasional (PN) perlu dirombak secara menyeluruh dengan pendekatan yang lebih segar, dinamik dan strategik bagi memastikan gabungan itu kekal relevan dalam landskap politik negara.

Ketua Penerangan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, PN tidak boleh terus bergantung kepada strategi lama bagi menghadapi cabaran baharu, sebaliknya perlu segera memperkukuh aspek kepimpinan, penyusunan dalaman, naratif media dan penglibatan anak muda.

“Kita perlu tampil dengan pendekatan yang segar dan dinamik, tidak boleh lagi berharap kepada strategi lama untuk berdepan cabaran politik baharu.

“Tambahan pula, terdapat rakan-rakan politik yang sedang memerhati. Mereka mahu bersama kita, namun pada masa yang sama ingin melihat kesungguhan kita untuk menjadi lebih kuat, bersedia dan strategik.

“Jika kita gagal memberi isyarat perubahan, maka kita bukan sahaja gagal meyakinkan rakyat, malah bakal rakan seperjuangan juga akan menjauh,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang sebelum ini menyarankan agar PN melakukan perubahan menyeluruh bagi menghadapi realiti politik semasa.

Menurutnya, kenyataan Tuan Ibrahim bukan sekadar pandangan peribadi, sebaliknya satu teguran berasas daripada tokoh berpengalaman yang telah melalui pelbagai fasa dalam politik – sebagai kerajaan, rakan kerajaan dan kini pembangkang.

“Saya melihat kenyataan Tuan Ibrahim ini sebagai satu isyarat yang tepat pada masanya. PN bukan lagi dalam fasa merintis. Kita telah melalui tempoh tiga hingga empat tahun yang penuh warna-warni.

“Setiap fasa itu datang dengan cabaran tersendiri. Namun, sayangnya pentadbiran kita kekal dalam acuan lama, seolah-olah tidak mengambil iktibar daripada peralihan yang telah berlaku,” katanya lagi.

Lebih membimbangkan, Khairul Nadzir berkata, PN kini berdepan seorang Perdana Menteri yang menjadikan populariti peribadi sebagai senjata politik utama.

Beliau berkata, tindakan Perdana Menteri dalam menyanyi, bersajak dan mencipta gimik media merupakan sebahagian strategi persepsi yang membina imej diri, sekali gus menuntut respons luar biasa daripada PN dalam gelanggang politik semasa.

“Perubahan ini bukan retorik, ia satu tuntutan masa. Jika kita tidak berubah, maka kita akan diubah oleh rakyat,” tegasnya.