Kenyataan Sin Woon bukan pendirian sebenar MCA - Asyraf Wajdi

JOHOR BAHRU - UMNO menyelar dakwaan yang menyatakan Barisan Nasional (BN) kini tidak mempunyai hala tuju selepas menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kenyataan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon itu disifatkan sebagai pandangan peribadi dan bukannya pendirian rasmi parti itu.

Menurutnya, BN tetap berpegang kepada hala tuju yang jelas, khususnya dalam memastikan kestabilan politik dan pentadbiran negara.

“Ini bukan pendirian rasmi MCA, hanya sebahagian daripada pandangan individu, tetapi kita terbuka menerima perbezaan pandangan dalam semangat kekeluargaan BN.

“Prinsip BN ialah menyelesaikan apa-apa isu melalui perbincangan dalaman, bukan melalui kenyataan terbuka. Selagi kepimpinan utama tidak membuat kenyataan rasmi, ia tidak mencerminkan pendirian parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Riang Ria Rumah Terbuka Terlajak Raya Aidilfitri di Arena Larkin, di sini, pada Khamis.

Hadir sama Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd Hairi Mad Shah dan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar.

Sebelum ini, Sin Woon dilaporkan menyuarakan kebimbangan bahawa ramai ahli dan penyokong akar umbi MCA kini keliru serta kecewa dengan hala tuju politik parti dalam BN dan Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, MCA telah memberi masa lebih dua tahun kepada BN untuk melakukan penyusunan semula selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun masih tiada kejelasan sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli.

Sin Woon turut mencadangkan agar mesyuarat bahagian MCA seluruh negara yang dijadualkan pada Jun ini memberi tumpuan kepada perbincangan masa depan parti serta mendapatkan suara akar umbi untuk dibawa kepada kepimpinan pusat.

Susulan kenyataan itu, Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros menyelar Chong yang disifatkan gagal memahami kepentingan kerjasama antara BN dan PH dalam konteks Kerajaan Perpaduan.

Bagaimanapun, Ketua Pemuda MCA Johor, Heng Zhi Li tampil membidas kenyataan tersebut dengan mendakwa kerjasama itu hanya merugikan BN dari dalam.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi menyarankan MCA agar menilai semula arah tuju mereka sebelum mempertikai kedudukan BN.

“UMNO dan BN konsisten dengan prinsip yang memperjuangkan kemajmukan rakyat serta kestabilan negara.

“Itulah hala tuju kita. Kalau itu pun dianggap tiada hala tuju, saya tidak pasti apa sebenarnya yang mereka mahukan,” ujarnya.