IPOH - Parti Amanah Negara (Amanah) Perak bersedia meneruskan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) selepas kejayaan yang dicapai dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning baru-baru ini.
Pengerusinya, Datuk Asmuni Awi berkata, keputusan PRK berkenaan membuktikan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan BN mampu menghasilkan impak yang positif serta diterima baik oleh pengundi.
“Kita anggap PRK Ayer Kuning sebagai satu ‘dry run’ untuk menghadapi PRU16. Pendekatan yang sama kita akan bawa ke hadapan, Insya-ALLAH. Keputusan yang kita peroleh cukup memberangsangkan, termasuk di kawasan-kawasan yang sebelum ini BN kalah.
“Contohnya di PDM (Pusat Daerah Mengundi) Simpang 3, dulu kalah tipis, tapi kali ini menang dengan majoriti 111 undi. Ini hasil kerjasama semua pihak,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian sempena Mesyuarat Agung Kali Ke-3 Persatuan Penduduk Taman Chepor Idaman di Kabin Aktiviti Penduduk Taman Chepor Idaman, di sini pada Khamis.
Asmuni turut menegaskan bahawa gerak kerja jentera Amanah berada pada tahap membanggakan dan komitmen yang ditunjukkan oleh petugas menunjukkan semangat luar biasa.
Menurutnya lagi, model kerjasama yang digunakan dalam PRK Ayer Kuning sebenarnya telah bermula sejak PRK DUN Mahkota, dan keberkesanannya terbukti apabila semua pihak memainkan peranan aktif menggerakkan pengundi masing-masing.
Mengulas soal penerimaan rakyat terhadap gabungan PH-BN, Asmuni menjelaskan bahawa sentimen negatif seperti dakwaan ‘UMDAP’ atau ‘UMNO jadi kuda DAP’ sudah tidak lagi memberi kesan besar terhadap pola sokongan pengundi.
“Pengundi sekarang dah makin bijak menilai. Kalau dulu ada yang percaya naratif sebegitu, sekarang tidak lagi. Mereka lihat sendiri adakah kepentingan Melayu tercabar? Adakah DAP kuasai kerajaan? Semua itu tidak berlaku.
“Kerajaan berjalan lancar, pembangunan tidak terbantut, semua kaum terbela. Jadi rakyat boleh terima kerjasama ini. Itu yang kita nampak melalui respons pengundi,” katanya.
Terdahulu, Asmuni yang juga Pegawai Khas Menteri Besar Perak menyempurnakan perasmian mesyuarat agung berkenaan yang dihadiri hampir 300 penduduk taman perumahan berkenaan.
Sempena majlis itu juga turut diadakan penyampaian tong sampah daripada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) kepada penduduk yang terpilih.
Pada 26 April lalu, BN mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning selepas calonnya, Dr Mohamad Yusri Bakir, 54, diumum menang dalam PRK berkenaan dengan majoriti lebih besar.
Beliau menang dengan majoriti 5,006 undi selepas memperoleh 11,065 dalam saingan tiga penjuru membabitkan wakil Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM).