MP Labuan sedia lepas jawatan jika kalah di Mahkamah Persekutuan

SHAH ALAM - SHAH ALAM - Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman hanya akan melepaskan jawatan sebagai wakil rakyat sekiranya kalah di Mahkamah Persekutuan dan menegaskan kerusi disandangnya kini kekal ‘status quo’.

Sehubungan itu, beliau mengesahkan telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 15 April lepas, yang membatalkan writ saman dan penyata tuntutannya terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurutnya, masih ada dua lapisan mahkamah, iaitu Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, untuk mempertahankan haknya.

“Jika saya kalah di Mahkamah Persekutuan, maka saya letak jawatan (sebagai Ahli Parlimen),” katanya memetik laporan Free Malaysia Today pada Selasa.

Sebelum ini, Ketua Whip Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menggesa supaya kerusi Parlimen Labuan diisytihar kosong dan Pilihan Raya Kecil (PRK) wajib diadakan segera.

Beliau berkata, surat telah dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk menuntut supaya pengisytiharan kekosongan kerusi Parlimen tersebut.

Pada 11 Julai tahun lepas, Johari dilapor memaklumkan dalam surat kepada Kiandee bahawa beliau tidak mahu merosakkan kepentingan pihak sedang berbicara dalam kes mahkamah, susulan tindakan Suhaili menyaman Bersatu.

Suhaili memfailkan saman pada 1 Julai tahun lepas terhadap Bersatu bagi menuntut pengisytiharan bahawa pemecatan keahlian beliau daripada parti itu adalah tidak sah dan menyalahi undang-undang.

Dalam pada itu, Suhaili mengecam tindakan Bersatu yang didakwa hanya fokus pada usaha menjatuhkan kerajaan, berbanding membela nasib rakyat.

Sedangkan katanya, rakyat lebih risaukan berhubung tarif yang dikhuatiri memberi kesan terhadap ekonomi.

“Tetapi mereka ini (Bersatu) masih sibuk pasal PRK, tumbang kerajaan.

“Satu kerusi tak mampu ubah kerajaan. Kalau nak sangat jadi kerajaan, tunggu PRU16. Kenapa nak cari publisiti murahan?” soalnya.