Tamat subsidi telur: MCA dakwa alasan kerajaan tidak munasabah

SHAH ALAM - MCA menggesa kerajaan berterus terang sekiranya peningkatan hutang negara yang telah mencecah RM45.3 bilion menjadi punca rakyat terpaksa menanggung kesan penarikan subsidi telur ayam.

Naib Presidennya, Datuk Ir Lawrence Low berkata, kerajaan juga perlu sedar bahawa subsidi diberi bagi menampung peningkatan kos pengeluaran susulan pandemik Covid-19 serta kesan peperangan Ukraine-Rusia yang menyebabkan harga import jagung dan soya melonjak.

Justeru menurutnya, alasan kerajaan bahawa kos pengeluaran telah stabil adalah tidak munasabah kerana bukan sahaja peperangan masih berterusan, negara terpaksa pula menghadapi ketidaktentuan akibat tarif timbal balas Amerika Syarikat.

"Kerajaan harus berterus terang sekiranya ia menghadapi masalah kemampuan susulan peningkatan hutang negara yang telah mencecah RM45.3 bilion setakat hari ini, 30 April 2025.

"Adakah rakyat kena menanggung dan membayar hutang negara yang dibuat oleh kerajaan? Mana perginya kutipan cukai SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) yang telah meningkat dari 6 peratus kepada 8 peratus?

"Mana pergi hasil kutipan cukai-cukai baharu yang diperkenalkan? Bukankah negara menerima kemasukan berbilion pelaburan asing?," soalnya dalam kenyataan pada Rabu.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengumumkan akan menamatkan kawalan harga dan subsidi telur ayam secara berfasa bermula Khamis ini, sebagai langkah penyasaran semula subsidi di bawah inisiatif kerajaan Madani.

Kadar subsidi telur ayam akan dikurangkan daripada 10 sen kepada 5 sen sebutir bermula Khamis manakala pemberian subsidi sepenuhnya akan ditamatkan pada 1 Ogos depan.

Keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira komitmen industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam kekal mencukupi dan terjamin, susulan kos pengeluaran yang telah stabil.

Low yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Ekonomi dan PKS MCA berkata, beliau yakin persoalan dan kritikan sama akan dibuat oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) sekiranya mereka bergelar pembangkang hari ini.

Sehubungan itu tegas beliau, KPKM wajar mempertimbangkan semula langkah menamatkan kawalan harga dan subsidi telur ayam kepada industri pengeluar telur.

"Penarikan sepenuhnya subsidi telur ayam sebanyak 10 sen sebutir bermula 1 Ogos depan akan menaikkan perbelanjaan isi rumah lima orang sebanyak RM15 sebulan, mengambil kira pengambilan purata sebutir telur sehari untuk seorang," katanya.