Ahli Parlimen Pulai dirawat di ICU

JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital swasta di Iskandar Puteri pada malam Selasa akibat paras oksigen rendah dalam badan.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan berkata, Suhaizan yang juga Naib Pengerusi Amanah Johor, dimasukkan ke ICU kira-kira jam 11 malam selepas mengalami demam panas.

“Malam tadi beliau (Suhaizan) mengalami demam dengan suhu tinggi dan paras oksigen yang rendah.

“Namun pagi ini keadaannya dilaporkan stabil dan beliau dalam keadaan sedar, tetapi masih dipantau rapi oleh pasukan perubatan di ICU,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Suhaizan, 51, juga merupakan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai yang diadakan pada 9 September 2023, beliau berjaya meraih kemenangan dengan memperoleh 48,283 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar serta calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi.

PRK tersebut diadakan susulan kematian penyandang kerusi itu, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai 2023.