Kosongkan kerusi Parlimen Labuan, adakan segera PRK - Ronald

KOTA KINABALU - Ketua Whip Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menggesa supaya kerusi Parlimen Labuan diisytihar kosong dan Pilihan Raya Kecil (PRK) wajib diadakan segera.

Beliau berkata, surat telah dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk menuntut supaya pengisytiharan kekosongan kerusi Parlimen tersebut.

"Ia adalah susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 15 April lalu yang membatalkan writ saman dan penyata tuntutan yang difailkan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman terhadap Bersatu.

"Memandangkan Mahkamah Tinggi Shah Alam telah membatalkan writ saman dan penyata tuntutan Datuk Suhaili, maka jelas alasan yang dijadikan sandaran oleh Tan Sri Speaker untuk tidak mengosongkan kerusi Parlimen Labuan dan menolak permohonan saya dalam surat terdahulu bertarikh 9 Julai 2024, sudah tidak lagi relevan dan terpakai," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Beluran itu berkata lagi, Speaker tidak mempunyai pilihan lain selain daripada menghormati dan menjunjung mulia Perlembagaan Persekutuan.

"Speaker perlu membuat perisytiharan bahawa berlaku kekosongan bagi kerusi Parlimen Labuan untuk membolehkan pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) membuat ketetapan untuk suatu PRK diadakan segera," katanya.

Sebelum itu, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah membenarkan permohonan Bersatu untuk membatalkan saman Suhaili yang mencabar pengguguran keahliannya secara automatik daripada parti itu.

Keputusan itu dibuat selepas mendapati saman yang difailkan oleh Suhaili selaku plaintif tidak mempunyai merit.