KOTA KINABALU - Usaha pihak tertentu yang ingin membentuk kerjasama politik baharu di Sabah tanpa melibatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) Plus disifatkan sebagai pramatang.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan juga menyifatkan tindakan itu adalah tidak menghormati kestabilan yang telah diwujudkan dalam pentadbiran negeri.
"Saya ingin menegaskan bahawa mana-mana usaha atau perbincangan ke arah membentuk kerjasama politik baharu yang tidak melalui GRS–PH Plus dan tidak mengutamakan semangat muafakat yang telah dipersetujui, adalah bersifat pramatang dan tidak menghormati mandat serta kestabilan yang telah dipupuk di negeri ini.
"Sebarang perubahan perlu berlandaskan perbincangan yang inklusif, menghormati struktur sedia ada, serta berteraskan kepentingan rakyat Sabah," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambah beliau lagi, kerjasama GRS- PH Plus di Sabah adalah hasil rundingan yang matang selepas pembentukan kerajaan Perpaduan.
"Ini terbukti telah berjaya membawa kestabilan kepada pentadbiran negeri dan turut diterjemahkan melalui kejayaan pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya, yang telah melonjakkan kemajuan dan kesejahteraan rakyat Sabah dalam pelbagai sektor termasuk pendidikan, infrastruktur, ekonomi digital, dan pengurusan sumber asli.
"Jadi saya menyambut baik dan menyokong kenyataan Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali yang menegaskan bahawa Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah perlu difahami berdasarkan konteks politik tempatan yang berbeza daripada model politik di peringkat Persekutuan.
"Sebagaimana yang ditegaskan oleh beliau, prinsip asal pembentukan kerajaan Perpaduan adalah untuk memastikan kestabilan di peringkat pusat, tanpa mewajibkan formula politik seragam di peringkat negeri.
"Sabah mempunyai keunikan tersendiri yang perlu dihormati, sama seperti Sarawak dan Johor. Sebarang pendekatan politik harus mengambil kira realiti serta sensitiviti politik setempat," katanya.
Sehubungan itu, Nizam yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri menghargai rakan PH Sabah yang telah berdiri teguh mempertahankan kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor ketika negeri berdepan perubahan politik besar di peringkat pusat.
"Ini membuktikan bahawa kerjasama yang berteraskan keikhlasan dan kepentingan rakyat mampu bertahan mengharungi apa juga cabaran," ujarnya.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan Armizan menegaskan bahawa tidak ada dalam memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada Disember 2022 mewajibkan model pembentukan kerajaan Persekutuan perlu diikuti di peringkat negeri.
Pandangan itu susulan kenyataan Bendahari UMNO Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak yang menyatakan Barisan Nasional dan PH adalah tunjang kerajaan Madani di Sabah dan mustahil untuk dipisahkan.