Ahmad Faizal enggan ulas dakwaan SD minta beliau diganti

IPOH - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memilih untuk tidak memberikan sebarang ulasan berhubung dakwaan wujudnya akuan bersumpah (SD) yang menuntut agar kedudukannya digantikan.

Beliau mengambil pendekatan itu dengan alasan laporan berkenaan, seperti yang disiarkan oleh sebuah portal berita, hanya memetik sumber yang tidak dinamakan.

"Maaf, saya tak komen atas artikel yang merujuk sumber tidak bernama," katanya ringkas menerusi pesanan WhatsApp.

Laporan pada Selasa itu mendakwa SD terbabit ditandatangani oleh 16 daripada 24 ketua bahagian Bersatu Perak yang meminta agar kedudukan Ahmad Faizal sebagai Pengerusi negeri dikaji semula atau digantikan dengan pemimpin lain.

Tindakan tersebut dilaporkan berpunca daripada rasa tidak setuju terhadap cara Ahmad Faizal memohon pertukaran tempat duduk antara dua wakil rakyat Bersatu, iaitu Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Nadziruddin Mohamed Bandi dalam Dewan Undangan Negeri.

Sebelum ini, Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak mengesahkan bahawa beliau telah menghantar surat kepada Pejabat Speaker Dewan Undangan Negeri Perak bagi memohon pertukaran tersebut susulan pelantikan Nadziruddin sebagai Setiausaha Bersatu Perak yang baharu.