JOHOR BAHRU - MCA digesa keluar daripada Kerajaan Perpaduan dan Barisan Nasional (BN) serta mempertimbangkan untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi memulakan semula perjuangan politik mereka.
Gesaan itu dibuat Ketua Pemuda Sayap Bersekutu Bersatu Johor, Eugene Lim, sebagai maklum balas terhadap ucapan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, yang menyeru parti itu menentukan masa depannya sendiri sekiranya BN terus menangguhkan keputusan jelas mengenai hala tuju gabungan tersebut.
Eugene menegaskan bahawa MCA berdepan kesukaran besar sekiranya memilih untuk bertanding secara bersendirian dalam keadaan politik semasa, lebih-lebih lagi selepas lebih sedekad dilabel sebagai "YESMAN" oleh ramai pengundi Cina.
"Jalan untuk berdikari adalah panjang dan penuh cabaran, mungkin mengambil masa 10 tahun atau lebih. MCA perlu bersedia menghadapi kekurangan sumber dan membina semula akar umbi.
“Saya menyeru MCA untuk mempertimbangkan langkah ini demi masa depan politik mereka. Bersatu menawarkan platform dan peluang kepada semua kaum yang mahu berbakti,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, Eugene turut mencadangkan sekiranya MCA ingin bergerak secara bebas, parti itu wajar mempertimbangkan untuk menubuhkan parti baharu dengan penjenamaan yang lebih segar.
"Penekanan harus diberikan kepada pembangunan ekonomi negara, reformasi pendidikan serta mengamalkan semak dan imbang yang rasional untuk menarik sokongan generasi muda," ujarnya.
Tambah beliau, walaupun risiko untuk memulakan semula adalah tinggi, ia lebih baik daripada kekal dalam keadaan tidak menentu tanpa sebarang kerusi untuk ditandingi, seolah-olah seperti sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan.
Pada Isnin, sebuah portal melaporkan, Chong ketika berucap pada pembukaan Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian MCA Selayang 2025, berkata MCA memberi BN lebih dari dua tahun untuk penyusunan semula selepas PRU15, tetapi ketidakpastian yang berterusan dalam keputusan BN menyebabkan ahli MCA berasa ragu-ragu dan kecewa.
Chong mencadangkan mesyuarat bahagian MCA di seluruh negara pada bulan Jun ini memberi keutamaan kepada perbincangan mengenai masa depan parti, mengumpul pendapat akar umbi yang akan dipersembahkan kepada kepimpinan pusat.