SHAH ALAM - Tiada mana-mana parti politik wajar mengambil tindakan yang boleh mempengaruhi pilihan rakyat di negara asing, terutama dalam pilihan raya umum yang merupakan lambang tertinggi demokrasi, kata Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong.
Beliau merujuk kepada kenyataan bersama Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Jabatan Pilihan Raya (ELD) Singapura pada 25 April lalu berhubung dakwaan campur tangan pemimpin Pas dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) negara itu.
"Saya mengambil maklum bahawa pemimpin Pas yang terlibat telah menafikan dakwaan tersebut. Dalam dunia yang saling bergantung ini, semua pemimpin politik perlu memahami dan menghormati kedaulatan serta proses demokrasi negara lain.
"Menjadi tanggungjawab kita untuk menunjukkan contoh yang baik terhadap negara lain, termasuk Singapura, jiran rapat yang berkongsi sejarah dan kepentingan strategik dengan Malaysia," katanya menerusi satu kenyataan di Facebook pada Isnin.
Sebelum ini, Bendahari Agung Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad, dan Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar, didapati memuat naik hantaran di Facebook yang memberi komen dan didakwa cuba mempengaruhi GE2025. Dakwaan itu disahkan oleh MHA dan ELD Singapura dalam kenyataan bersama mereka.
Portal Harakah Daily turut menerbitkan dua artikel pada 22 dan 23 April lalu mengenai pandangan Iskandar berhubung masyarakat Melayu di Singapura dan GE2025, sebelum pihak berkuasa Singapura mengarahkan penyekatan kandungan tersebut di bawah Seksyen 61N Akta Pilihan Raya Parlimen (PEA).
Choo Seong menegaskan, sebagai sebuah parti yang berpengalaman dalam pemerintahan di peringkat negeri dan Persekutuan, Pas perlu lebih berhati-hati dalam memastikan segala kenyataan atau tindakan mereka tidak menjejaskan hubungan antarabangsa.
"Saya yakin kepimpinan Pas memahami pentingnya menjaga kepercayaan antarabangsa serta memastikan segala tindakan berlandaskan nilai rasionaliti, kematangan dan tanggungjawab politik," tambahnya.