KANGAR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihati semua pihak agar tidak mengheret golongan muda di negara ini ke dalam pergeseran politik sempit dan perbalahan antara kaum.
Beliau menegaskan bahawa anak muda perlu diberi peluang untuk membangunkan diri melalui penguasaan pelbagai kemahiran yang relevan dengan keperluan masa depan.
Menurutnya, fokus utama harus diberikan kepada bidang seperti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembangunan digital serta kecerdasan buatan (AI).
“Jangan heret anak muda untuk berbincang isu yang melemahkan kita. Kita perlu bangunkan kekuatan mereka, bina negara ini, dan fikirkan masa depan rakyat serta anak muda kita untuk 10 hingga 20 tahun akan datang.
"Adakah kita mahu terus bergaduh soal kaum dan tafsiran atau kita mahu angkat martabat negara supaya menjadi sebahagian daripada negara maju yang mampu menangani ujian semasa," katanya pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Negeri Perlis di Dataran Lok 9, Kuala Perlis.
Dalam ucapannya, Anwar turut menekankan bahawa kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memastikan anak muda dapat berkembang dengan cemerlang.
Hal itu dilakukan melalui pemberian peruntukan terbesar melalui Belanjawan Madani bagi sektor pendidikan.
“Langkah ini adalah untuk melahirkan generasi yang cemerlang dalam pelbagai bidang sekali gus mengangkat martabat negara ke peringkat tertinggi di rantau Asia,” tambah beliau.
Perdana Menteri menegaskan bahawa Kerajaan Madani komited untuk memastikan anak muda tidak terjebak dalam isu yang memecahbelahkan, sebaliknya diberi peluang untuk membangunkan diri melalui pendidikan dan kemahiran.
Beliau menyeru semua pihak untuk bersama-sama menyokong usaha kerajaan dalam membina masa depan yang lebih baik untuk generasi muda.