KOTA KINABALU - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berhasrat untuk meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang akan berlangsung tahun ini.
Pemangku Pengerusi Muda Sabah, Faezrah Rizalman menyatakan bahawa parti itu bersedia untuk menyertai PRN kali ini selepas melihat penerimaan yang semakin baik di peringkat akar umbi.
“Kita memang ada perancangan untuk bertanding di PRN kali ini.
"Memandangkan kita masih boleh dikatakan baru dan tidak sebesar beberapa parti lain di sini, kita akan lihat kemampuan dan keadaan semasa. Jadi, mungkin kita akan bertanding di tidak lebih daripada 10 kerusi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang akhbar sempena majlis Pelancaran Teroka oleh Muda Sabah di sini pada pada Ahad.
Ditanya mengenai kawasan tumpuan Muda pada PRN kali ini, Faezrah menjelaskan bahawa parti itu mungkin akan memberi fokus kepada kawasan bandar, berbanding pilihan raya lalu di mana Muda meletakkan calon di kawasan luar bandar.
“Kita sudah membuat persiapan sejak tahun lalu, termasuk mendekati akar umbi. Namun, memandangkan kami adalah parti kecil dengan keahlian sekitar 5,000, sumber tenaga agak terhad.
"Oleh itu, kami terpaksa kreatif dengan kempen secara dalam talian.
"Kali ini, kita cuba fokus di kawasan bandar sedikit. Sebelum ini, kami telah mencuba di luar bandar dan mungkin kali ini tumpuan akan lebih kepada kawasan yang lebih maju.
"Tidak dinafikan, Muda memang mempunyai kekuatan yang lebih di kawasan bandar, namun kami juga merancang untuk fokus kepada luar bandar pada masa depan," katanya.
Ditanya sama ada beliau akan menawarkan diri untuk bertanding, Faezrah tidak mengesahkan perkara tersebut, namun memberi bayangan bahawa beliau mungkin akan menyertai PRN17.
Sementara itu, Pemangku Presiden Muda Amira Aisya Abdul Aziz mengambil pendekatan menyerahkan sepenuhnya kepada Muda Sabah untuk membuat keputusan mengenai sebarang keputusan mengenai PRN Sabah.
"Walaupun Muda adalah sebuah parti nasional, kami memberikan ruang autonomi yang cukup besar kepada Muda Sabah untuk menentukan hala tuju politik di negeri ini," katanya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Muda meletakkan calon tunggal mereka di kawasan Parlimen Kota Marudu, namun tewas dalam pertandingan enam penjuru tersebut.