IPOH – Pemimpin Perikatan Nasional (PN) dinasihatkan untuk tidak terus memberi alasan sebaliknya menerima hakikat kekalahan mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, berdasarkan pemerhatiannya, alasan yang dikemukakan oleh pemimpin PN sudah dirancang lebih awal sebaik menyedari mereka tidak mendapat sokongan rakyat.
Beliau dalam pada itu turut menyindir Naib Presiden Pas yang sebelum ini membacakan 'talkin' buat UMNO ketika kempen PRK berkenaan.
"Saya nak jawab bacaan talkin Yang dibaca oleh Ustaz Idris (Idris Ahmad), Ustaz Idris dengar, terimalah bahawa BN menang RM11,096 itu benar, terimalah hakikat bahawa mereka kurang undi daripada PRU15 itu benar.
"Kan dia baca talkin itu, saya pun nak baca talkin jugalah. Terimalah hakikatnya bahawa orang-orang Ayer Kuning menolak mereka itu benar," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Riang Ria Aidilfitri Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri Perak Bersama Menteri Besar di Pekarangan Stadium Indera Mulia di sini pada Ahad.
Beliau menegaskan, apa jua alasan yang diberikan, fakta tetap menunjukkan rakyat memberikan kepercayaan kepada BN untuk terus berkhidmat di DUN Ayer Kuning.
Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan, BN menang dengan majoriti lebih besar berbanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
"Walaupun sasaran 18,000 undi tidak tercapai berikutan hanya 58 peratus keluar mengundi, majoriti BN tetap meningkat daripada lebih 2,000 undi pada PRU15 kepada 5,006 undi pada PRK ini.
"PN pula bukan sahaja kalah, malah undi mereka berkurangan daripada 6,812 kepada 6,059 undi," katanya Menteri Besar Perak itu.
Pada 24 April lalu, sebuah portal parti politik melaporkan ucapan Idris menarik perhatian ramai apabila beliau menyampaikan pesanan seperti bacaan talkin yang diungkapkan sempena Ceramah Grand Finale PN PRK DUN Ayer Kuning di Taman Golf, Bidor.
“Wahai pengundi DUN Ayer Kuning, apabila datang kepada kamu pemimpin-pemimpin UMDAP (UMNO-DAP), maka hendaklah kamu jangan gentar dan takut. Jawablah dengan lidah yang fasih kerana mereka hanyalah insan biasa sepertimana kamu.
“Sesungguhnya kerjasama antara Umno dengan DAP itu adalah benar. Sesungguhnya slogan ‘UMDAP mantap’, ‘UMDAP mantap’ bergema di PRK Ayer Kuning adalah benar. Sesungguhnya ahli Umno ditipu dengan slogan ‘No Anwar No DAP’ adalah benar," katanya dipetik sebahagian dalam ceramah tersebut.